Rakyat tanggung beban berganda selepas keputusan prosiding timbang tara



Rakyat negara ini terpaksa menanggung beban berganda apabila pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dibuat dua kali setelah termeterinya perjanjian timbang tara antara kerajaan dengan syarikat dari Abu Dhabi itu di Mahkamah Abritasi Antarabangsa London.

Rakyat tanggung beban berganda selepas keputusan prosiding timbang tara

Tan Sri Muhyiddin Yassin Rakyat negara ini terpaksa menanggung beban berganda apabila pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dibuat dua kali setelah termeterinya perjanjian timbang tara antara kerajaan dengan syarikat dari Abu Dhabi itu di Mahkamah Abritasi Antarabangsa London.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beban itu akan ditanggung oleh rakyat melalui hasil kutipan cukai yang akan dikenakan ke atas mereka bagi meningkatkan pendapatan kerajaan untuk menanggung masalah kewangan 1MDB.

“Persetujuan 1MDB untuk membuat bayaran kepada IPIC jelas menunjukkan bahawa syarikat itu mengaku telah membuat bayaran yang salah kepada satu syarikat yang tiada kaitan langsung dengan IPIC.

“Persetujuan arbitrasi yang dicapai di antara 1MDB dan IPIC ini juga jelas menunjukkan terdapat unsur-unsur penipuan apabila 1MDB telah membuat salah pembayaran kepada Aabar BVI,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat petang ini.

Muhyiddin mempersoalkan bagaimana 1MDB telah tersalah membayar wang kepada anak syarikat IPIC – Aabar Investments PJS tetapi sebaliknya 1MDB membuat pembayaran kepada Aabar BVI, sebuah syarikat palsu yang mempunyai nama yang hampir sama atau mirip dengan anak syarikat IPIC.

“Sebelum ini, pertikaian timbul di antara 1MDB dan IPIC apabila IPIC menyatakan 1MDB tidak pernah membuat apa-apa pembayaran kepada IPIC sebagaimana yang didakwa oleh 1MDB.

“Inilah yang telah menyebabkan IPIC dan Aabar Investments PJS meneruskan tuntutannya selepas beberapa kali mengeluarkan kenyataan 1MDB telah memungkiri komitmen mereka kepada IPIC. Abu Dhabi telah berulang kali berkata, IPIC atau anak syarikatnya itu tidak pernah menerima sebarang pembayaran atau deposit dari 1MDB walaupun 1MDB bertegas menyatakan bahawa Aabar BVI adalah anak syarikat Kumpulan IPIC.

“Mengapakah pembayaran sebesar ini dibuat kepada sebuah syarikat yang palsu? Mengapakah tidak ada satu pun tindakan diambil kepada mana-mana pihak yang bertanggungjawab yang telah membuat pembayaran yang salah ini? Atau adakah dari awal lagi pembayaran kepada syarikat Aabar yang palsu ini telah dirancang?

“Persoalannya, dari manakah sumber kewangan yang akan diperolehi oleh 1MDB dan MOF Inc untuk membayar sebanyak RM26.5 bilion kepada IPIC? Jika ianya menerusi penjualan sebuah unit pelaburan 1MDB bernama Brazen Sky Ltd, siapakah yang membeli unit pelaburan tersebut dan berapakah nilainya? Benarkah unit pelaburan ini wujud?,” ujar bekas timbalan perdana menteri ini.

Justeru katanya sekiranya kerajaan dan Kementerian Kewangan tidak berminat untuk menuntut semula wang yang telah di bayar kepada syarikat Aabar palsu.

Ini bermakna jika 1MDB tidak mampu untuk membuat pembayaran, maka Kerajaan Malaysia terpaksa menanggung kesemua bayaran kepada IPIC.

Sebagai rekod IPIC milik Abu Dhabi melalui satu kenyataan mereka kepada Bursa Saham London telah mengesahkan mereka telah mencapai persetujuan dan menyelesaikan prosiding timbang taranya dengan 1MDB dan Kerajaan Malaysia(MOF Inc) di Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa London.

Menurut persetujuan itu, 1MDB akan membayar sejumlah AS1.2Bilion (RM5.28billion) pada dua peringkat iaitu pada bulan Julai dan Disember tahun ini. Di bawah syarat penyelesaian, IPIC akan menerima AS $ 602.7 juta (RM2.64 bilion) pada 31 Julai ini dan selebihnya AS602.7 juta(2.64bilion) pada 31 Disember akhir tahun ini.

1MDB dan Kementerian Kewangan juga berjanji kepada IPIC untuk membayar bagi semua faedah masa depan dan prinsipal di bawah dua bon yang dikeluarkan syarikat kumpulan 1MDB yang dijamin 1MDB dan IPIC. Bon pertama adalah AS$1.75 bilion (RM7.7bilion) pada kadar tetap 5.75 peratus yang dikeluarkan 1MDB Energy (Langat) Limited dan kedua sebanyak AS$1.75bilion (RM7.7bilion) pada kadar tetap sebanyak 5.99 peratus yang dikeluarkan oleh 1MDB Energy Limited. Kedua-dua bon hanya akan matang pada 2022.