Malaysia Dateline

Rakyat tanggung kos hidup makin mahal akibat penguatkuasaan kerajaan lemah, gagal

Apabila kerajaan mengumumkan bahawa subsidi minyak masak botol tidak diteruskan dan dimansuhkan berkuatkuasa 1 Julai 2022, ia membuktikan kerajaan bersama agensi penguatkuasaan sedia ada gagal dalam menangani masalah keperluan rakyat.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, kegagalan menstabilkan harga minyak masak bukan sahaja dipengaruhi oleh kelemahan kerajaan tetapi juga agensi penguatkuasaan yang lemah dan tidak serius dalam menangani kekurangan bahan tersebut pada peringkat awal lagi. 

Malah katanya, kekurangan bahan masak tersebut telah mempengaruhi kos sara hidup pelbagai golongan masyarakat.

“Seharusnya pelbagai agensi penguatkuasaan kerajaan termasuklah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang ada mengambil langkah awal mencegah penyelewengan membabitkan bahan tersebut. 

“Apabila kerajaan dan agensinya tidak serius, tidak mampu untuk bertindak menguatkuasakan undang-undang termasuklah mencegah kegiatan menyeludup dari setiap ceruk negara, akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung derita. 

“Penyelewengan minyak masak melalui pelbagai cara komersial dan industri tidak mampu disekat dan dihalang akibat rasuah dan korupsi. Natijahnya rakyat terpaksa menanggung beban mulai 1 Julai di mana ia akan turut mempengaruhi barangan keperluan lain yang juga membabitkan penggunaan bahan tersebut,” ujar beliau ketika dihubungi. 

Sehubungan itu tegas Mahfuz, kelemahan kerajaan yang memerintah sehingga membebankan rakyat ekoran kegagalan mentadbir dan melaksanakaan penguatkuasaan undang-undang tidak harus dibiarkan berterusan meneruskan pentadbiran dan perlu segera dinyahkan menjelang pilihan raya umum ke-15 yang akan datang. 

Tambah beliau, membiarkan kerajaan kini meneruskan pentadbiran bukan sahaja akan memudaratkan negara, sebaliknya menyebabkan sengsara pada kehidupan rakyat dalam jangka masa panjang. 

Baca juga: Tanda pagar #Proi5 berlegar di Twitter di tengah-tengah kenaikan harga barang, warganet dakwa ‘cytro’ upahan Ismail?

Baca juga: ‘Yang sebenarnya pembaziran utama ialah bayaran gaji menteri’ – Netizen bidas kenyataan Mahdazir