Baru-baru ini tular beberapa gambar dokumen didakwa ditemukan di medan peperangan antara negara Ukraine dan Rusia yang turut memaparkan kad pengenalan serta lesen memandu rakyat Malaysia.
Pemilik dokumen beralamatkan Padang Besar, Perlis itu dikatakan menjadi tentera upahan Ukraine malah perkara tersebut turut disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Menurut Razarudin, pengesahan dibuat berdasarkan siasatan yang dijalankan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan penularan gambar dokumen milik warga tempatan itu di platform media sosial X.
Hasil siasatan mendapati lelaki berusia 20 tahun terbabit berada di Ukraine sejak April lalu untuk menjalani latihan ketenteraan dan dipercayai masih hidup serta dilaporkan selamat, lapor Harian Metro.
“Lelaki itu menyertai perang di Ukraine kerana minat dalam ketenteraan dan menerima gaji antara AS400 (kira-kira RM1,700) hingga AS2,700 (kira-kira RM12,000) sebulan mengikut tahap bahaya di medan perang.
“Selain itu, tekanan daripada keluarga turut dipercayai menyebabkan dia sanggup menjauhkan diri daripada keluarga ke negara berkenaan,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Berhubung penemuan kad pengenalan serta lesen memandu tersebut, Razarudin memaklumkan bahawa dokumen itu tercicir ketika lelaki berkenaan melarikan diri.
Hal ini berikutan pemuda itu dikatakan tercedera di kaki akibat terkena serpihan dron daripada pasukan tentera lawan ketika berada di medan perang sebelum berjaya melarikan diri.
Mengulas lanjut, Razarudin memberitahu setakat ini hanya seorang warga tempatan dipercayai menyertai pasukan ketenteraan negara berkenaan untuk menjadi tentera upahan.
“Lelaki terbabit memohon untuk menjadi tentera upahan melalui satu laman sesawang dan mengisinya secara dalam talian. Malah dia juga memberitahu kepada keluarganya dia enggan pulang ke Malaysia.” Ujarnya.
Lelaki berkenaan turut mengakui bahawa terdapat rakyat daripada negara lain yang juga berada di Ukraine untuk menjadi tentera upahan mereka di dalam konflik membabitkan Rusia itu.
Terdahulu, tular dua keping gambar memaparkan kad pengenalan dan lesen memandu rakyat Malaysia didakwa ditemukan di medan peperangan antara Ukraine dan Rusia.
Dokumen yang didakwa ditemui selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Levadne, Zaporizhia itu menunjukkan alamat berdaftar di Padang Besar, Perlis.
Baca juga: Apa hukum cerita mimpi bertemu Nabi Muhammad? Ini penjelasan Ustaz Azhar Idrus