Rakyat Terengganu bangkit sokong Pakatan Harapan

Rakyat Terengganu bangkit sokong Pakatan Harapan

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga calon Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad teruja dengan jumlah kehadiran rakyat Terengganu pada program Jelajah PH Terengganu di Dungun malam tadi.

Kata beliau, jumlah ribuan orang yang hadir pada malam itu sesuatu yang luar biasa untuk program politik di negeri itu sepanjang ingatan beliau, melainkan program yang pernah dianjurkan Pas.

Itu pun kata beliau sebahagian mereka dijemput dengan bas, tetapi orang ramai yang datang malam itu, semuanya datang sendiri.

Calon Perdana Menteri Ke-7 itu berkata, dalam perjalanan beliau ke tempat program, beliau melihat begitu banyak poster Barisan Nasional (BN) dan Pas di merata tempat, tetapi tambah beliau, apa yang lebih penting adalah jumlah orang yang menyokong dan yang akan mengundi sesuatu parti itu, bukan jumlah poster.

Beliau yakin, melihat kepada sambutan pada program Jelajah PH itu, rakyat Terengganu akan bersama dengan rakyat di negeri-negeri di pantai barat, akan bangkin menumbangkan kerajaan BN-Umno yang ada.

Beliau turut mengingatkan pengundi di Terengganu tentang pentingnya pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini bagi memulihkan semula pentadbiran dan perjalanan negara.

Pemimpin Pakatan Harapan di program Jelajah PH Terengganu di Dungun malam tadi.

“Kali ini kita mengundi bukan untuk mendapatkan pembangkang yang kuat bagi menegur kesilapan kerajaan, tetapi kita mahu menukar kerajaan yang ada.

“Kita mahu tukar kerajaan yang dipimpin oleh penyangak dan pencuri,” kata beliau.

Turut serta dalam program Jelajah PH Terengganu itu ialah Presiden AMANAH Negara, Haji Mohamad Sabu, Tun Dr Siti Hasmah, Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, wakil Bersih Hishamuddin Rais serta pimpinan PH negeri Terengganu.

Sebelum itu dalam ucapan beliau, Raja Bharin mengingatkan pengundi-pengundi di Terengganu tentang isu-isu yang perlu diberi perhatian oleh pengundi Terengganu untuk membuat pertimbangan pada hari mengundi nanti.

Antara penyokong PH yang berhimpun di Dungun malam tadi.

Antara isu yang beliau bangkitkan ialah isu pembaziran kerajaan BN yang memerintah, isu kegagalan kerajaan membela nasib nelayan, isu warisan Melayu negeri Terengganu dan isu pembangunan yang diabaikan oleh kerajaan BN yang sekian lama memerintah.

Mohamad Sabu juga turut berpuas hati dengan sambutan yang ditunjukkan oleh rakyat Terengganu, khususnya di Dungun terhadap PH dan beliau yakin jika trend seperti itu berterusan, kerajaan BN pimpinan Najib Razak dapat ditumbangkan.

Kata beliau lagi, Jelajah PH akan berakhir di Kuantan pada 2 Mei ini.

Pada malam itu juga, PH turut mengumumkan calon-calon PH yang bertanding di seluruh negeri Terengganu bagi kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

8.3
OVERALL SCORE
: 9.0
9 user votes x 8.2