Malaysia Dateline

Rakyat Terengganu baru pulang dari Singapura disaran jalani ujian Covid-19

Semua rakyat di Terengganu yang baru pulang dari negara Republik Singapura mulai 1 April 2020, disaran untuk tampil bagi menjalani pemeriksaan Covid-19.

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu berkata, mereka yang berkenaan boleh datang ke mana-mana Klinik Kesihatan atau Hospital bagi menjalani pemeriksaan tersebut.

“Masyarakat di Terengganu yang baru balik dari Singapura diseru menjalani pemeriksaan, tidak kira sama ada anda telah disaring atau tidak di negara itu atau negeri-negeri lain.

“Ia susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di negara republik itu. Pihak kami juga memohon kerjasama orang ramai yang mengetahui mana-mana individu yang baru pulang dari Singapura, untuk menyalurkan maklumat tersebut ke Bilik Gerakan (CPRC), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui talian: 09-6229775,” maklum kenyataan itu.

Semalam, portal berita tempatan negara itu melaporkan, sebanyak 386 kes baharu dicatatkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan kepada 2,918.

Daripada kes baharu yang diumumkan pada Isnin, 280 dikaitkan dengan kelompok jangkitan sedia ada, dengan majoriti daripadanya adalah pemegang Permit Kerja di dormitori.

“Sebanyak 12 kes dikaitkan dengan kes sebelum ini, tujuh daripadanya membabitkan warga Singapura atau penduduk tetap dan lima adalah pemegang Permit Kerja,” katanya seperti dipetik portal berita itu.