Rakyat Terengganu terkejut kena bayar bil air selepas 2 bulan krisis

Oleh NASUHA RAHMAN

Pengguna Facebook terkejut dengan hebahan dikeluarkan Syarikat Bekalan Air Terengganu (SATU) berkenaan pengiraan bil air bagi bulan Ogos dan September.

Menerusi poster yang dimuatnaik di Facebook SATU Water, pihak syarikat negeri itu memaklumkan akan mengira penggunaan bil air dua bulan secara anggaran ekoran krisis air di Tangki Utama Berangan yang berlaku dalam tempoh tersebut.

“Bacaan bil telah dibuat bermula 14 September 2021 oleh pembaca meter. Oleh itu, pengguna boleh membuat bayaran mengikut jumlah yang perlu dibayar dan bil anggaran akan diselaraskan secara automatik mengikut bacaan sebenar,” tulis poster itu.

Notis terbabit telah menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna Facebook terutama penduduk terjejas di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Pengguna Nur Fasihah, persoal bagaimana anggaran tersebut dibuat sedangkan air tidak diterima penduduk.

“Anggaran macam mana, air pun dop tubik. Kira anggaran pergerakan angin ke,” tanya dia.

Pengguna akaun Tai Danish pula hairan tiba-tiba syarikat air menghantar bilangan caj dua kali ganda.

“Guane tu hampir sebulan tak dok air tiba-tiba SATU hantar bil caj dua kali ganda lebih tinggi daripada bil air sebelum krisis,” katanya.

Nur Allia Fatihah pula persoalkan janji dua bulan air percuma dan meminta penjelasan SATU.

“Wat anggaran pula dah? Dah hari tu kata dua bulan air percuma wat kire guane? Ke kire tutup mata je lah? Tanya je. kalau wat kire gitu, wat kire etek la bahagian isi minyak kereta pergi mari pergi mari, dobi bagai,” katanya.

Sementara itu, SATU dalam balasan komen di Facebook berkata, berkaitan bil air sebanyak dua bulan percuma, pihak SATU akan mengumumkan perkara tersebut dengan perincian dalam masa terdekat.