Malaysia Dateline

Rakyat terkejut bagaimana Najib boleh terkejut

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, bukan sahaja Najib Razak terkejut dengan pendedahan klip audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Malah, katanya, rakyat juga terkejut bagaimana bekas Perdana Menteri itu yang sudah masuk hari ke-69 perbicaraan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International hari ini boleh ‘terkejut’.

“Katanya ‘terkejut’. Saya fikir bukan Najib sahaja, bahkan semua rakyat Malaysia juga terkejut bagaimana Najib boleh ‘terkejut’,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Ditanya tentang pandangan yang mempersoal tindakan SPRM mendedahkan rakaman itu dalam sidang media khas, Shazni berpendapat hal tersebut berkaitan aspek teknikal.

“Akhirnya semua orang tahu bahawa kesemua bukti akan dibawa ke mahkamah,” ujarnya.

Beliau berkata, pendedahan kepada umum membolehkan rakyat tahu realiti kedudukan Najib berhubung salahguna kuasa.

“Sekurang-kurangnya apabila didedahkan kepada awam, rakyat Malaysia tahu tahap terdesaknya Najib sewaktu menjadi PM dahulu untuk menutup kerja-kerja kotor yang dilakukannya, khususnya berkaitan skandal 1MDB,” kata Shazni lagi.