Penubuhan Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK) sejak 21 Mac 2021 sehingga kini masih gagal untuk membentangkan satu pelan tindakan (blueprint) memastikan isu keselamatan makanan (food security) ini benar-benar diselesaikan.
Malaysia tidak boleh selamanya bergantung kepada import makanan kerana dasar inilah yang menyebabkan harga barang sering naik, apatah lagi ketika nilai ringgit yang lemah.
Selain itu, kuantiti barang dan nilainya juga bergantung kepada keadaan politik dan ekonomi sesebuah negara pengeksport. Ini yang membuatkan ketidaktentuan barang makanan dalam negara sama ada dari sudut ketersediaan dan harga.
Nilai import makanan sehingga RM55.5 bilion pada 2020 menunjukkan isu keselamatan makanan negara suatu isu yang amat serius yang perlu perhatian segera kerajaan.
Jika kerajaan mempunyai pelan tindakan bersepadu berkaitan keselamatan makanan, sudah pasti negara tidak akan berhadapan dengan inflasi makanan yang serius hari ini.
Kenaikan harga barang boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor termasuk kenaikan harga input makanan seperti baja dan dedak.
Harga barangan ini sekiranya dikawal akan mengurangkan kos operasi dan produksi makanan yang boleh mengurangkan harga barang makanan.
Untuk solusi jangka panjang, kerajaan perlu menyediakan ‘zon hijau input makanan’ di setiap daerah dengan dana khas yang berperanan mengeluarkan bahan input bagi baja dan dedak seperti jagung dalam skala yang besar.
Kos harga baja seguni meningkat dengan mendadak dari RM120 kepada RM250 telah menaikkan harga sayur seperti sawi, timun dan bayam antara RM1-RM2.50 sekilogram.
Begitu juga harga ayam yang meningkat tanpa kawalan sehingga melebihi RM9 sekilogram akibat harga dedak yang naik.
Kebergantungan kita kepada import dedak hampir RM4.6 bilion dan import baja RM3.2 bilion pada tahun 2020 merupakan satu kos yang tinggi.
Oleh itu, sudah pasti, kenaikan-kenaikan harga ini membebankan pengguna dan dengan gaji rakyat yang masih rendah, inflasi akan terus meningkat di mana inflasi teras adalah pada kadar 1.7% yang merupakan kadar tertinggi sejak tahun 2020.
Terbaru adalah krisis tepung gandum yang mana dijangka stok tepung gandum dalam negara tidak mencukupi. Natijahnya, harga tepung gandum akan meningkat dan harga makanan berasaskan tepung gandum akan menjadi mahal.
Sekarang pun harga tepung gandum dikatakan telah mula naik sehingga 50 sen sekilogram. Di samping itu, harga minyak masak turut naik mendadak lebih 40% dari RM25 bagi botol 5 kilogram kepada RM45.
Kerajaan pula dalam rangka untuk memperkenalkan subsidi bahan bakar bersasar yang sudah pasti meningkatkan harga petrol dan diesel dan kos pengangkutan, yang akan menjadikan harga barang terus meningkat kerana faktor domino ekonomi.
Tambahan pula, Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang meningkat ke 2% yang meningkatkan kadar faedah pinjaman, pasti akan meningkatkan kos syarikat pengeluar makanan yang mempunyai bebanan pinjaman.
Oleh itu, bagi mengawal harga barang untuk jangka pendek, kerajaan perlu memastikan tiada gangguan pada rantaian bekalan makanan termasuk pengangkutan.
Jika wang Petronas boleh dicadangkan untuk bail-out syarikat besar, sepatutnya kerajaan juga boleh menyuntik dana sebagai subsidi barang makanan. Jika tidak, rakyat akan tertanya-tanya kenapa mereka perlu membayar harga yang mahal sedangkan kek itu dikatakan dihiris-hiris untuk rakyat.
Jangan menguruskan negara ini dengan dasar membesarkan kek ekonomi sedangkan fungsi asas ekonomi negara seperti struktur ekonomi yang baik, daya tarik pelaburan asing, peluang perniagaan yang adil dan peluang pekerjaan dengan gaji setimpal tidak dilaksanakan.
Malaysia tidak boleh mengulangi dasar ekonomi di Sri Lanka yang lumpuh dan bankrap hari ini kerana sejumlah dana yang besar digunakan untuk projek mega termasuk infrastruktur awam sedangkan bantuan kepada rakyat dikurangkan.
Isu harga barang yang semakin naik ini akan terus menjadi perkara teras dalam kalangan rakyat Malaysia. Kegagalan kerajaan Umno-PPBM-Pas pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk mencari solusi jangka pendek dan jangka panjang terhadap isu pokok ini menunjukkan kegagalan kerajaan memahami denyut nadi rakyat.
Kerajaan hari ini seolah-olah tiada kesungguhan politik (political will) menyelesaikan permasalahan ini dan sering memberikan alasan remeh seperti harga barang naik disebabkan oleh perang Rusia-Ukraine, kejatuhan nilai ringgit dan sebagainya yang tidak mengubat sengsara rakyat terutama golongan B40.
Setiap hari rakyat merungut tentang kenaikan harga barang, tetapi seperti tidak diendahkan kerajaan kerana mereka percaya bahawa apa sahaja isu yang membelenggu rakyat, pasti terpadam dengan sentimen perkauman yang akan menjadi api membakar apa sahaja masalah hidup rakyat.
Biarlah derita sekalipun, perkauman tetap dijadikan candu politik oleh pemerintah untuk terus berkuasa. Harga barang yang mahal adalah ‘real’ sedangkan perkauman adalah ‘retorik’.
Sesetengah orang lebih takutkan hantu berbanding manusia yang kelihatan atas dan bawah.
*MUHAMMAD FAIZ FADZIL merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional juga ADUN Permatang Pasir.
Baca Harga barang harian makin melambung, menteri ramai buat apa?
Baca Wanita kesal tetamu buang pampers yang berbau terus ke dalam tong sampah tanpa lapik