Malaysia Dateline

Rakyat tetap pertahan PH jika tidak ikut amalan pentadbiran BN

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pemimpin kerajaan supaya tidak terjerumus ke kancah budaya lapuk yang menjadi amalan pentadbiran BN sehingga menyaksikan mereka disingkirkan rakyat.

Menurut bakal Perdana Menteri itu, kerajaan PH perlu meminggirkan sikap negatif seperti sombong dan tamak kuasa supaya usaha memacu pembangunan dan kemajuan negara berupaya dicapai secara telus serta bersih.

“Saya yakin, beri tempoh dalam beberapa tahun lagi, rakyat akan tetap mempertahankan PH sebagai kerajaan yang harmoni,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ketika menyampaikan ucaptama sempena Konvensyen DAP 2019, di Shah Alam, hari ini.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan PH perlu tetap menunaikan janji susulan mandat diberikan rakyat menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Sehubungan itu, tegasnya, pentadbiran negara diterajui PH perlu lebih berani menggubal dasar ekonomi tanpa ‘cemas’ dengan beberapa masalah yang timbul dalam usaha mengangkat agenda reformasi.

Jelasnya, setiap negara yang mengharungi peralihan sistem daripada yang korup, lapuk dan menindas kepada demokratik baharu sememangnya berdepan rangkaian cabaran.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson itu mengakui masih ada kelompok masyarakat khususnya golongan tidak berkemampuan menganggap disisihkan daripada arus pembangunan dan kesan limpah ekonomi.

Justeru, Anwar menggesa golongan pekebun kecil, nelayan miskin dan pekerja estet yang masih memerlukan pembelaan menerusi penggubalan dasar berteraskan keperluan rakyat tidak dilupapan.

“Kita tidak boleh bicara tentang dasar berteraskan keperluan rakyat kalau masih belum berani membawa rangka ekonomi yang beri keselesaan kepada semua rakyat, khususnya golongan miskin dan terpinggir.

“Antara sebab mengapa perkara ini dibangkitkan kerana kita belum dapat menyampaikan pesanan supaya semua pihak rasa lega,” tambahnya lagi.

Hadir sama dalam Konvensyen DAP 2019 hari ini ialah Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya.