Malaysia Dateline

Rakyat Thailand dibenarkan tanam pokok ganja di rumah, tetapi ada syaratnya

Kerajaan Thailand merancang untuk mengagihkan sejuta pokok ganja secara percuma kepada orang ramai Jun ini, tetapi terdapat syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.

Usaha Thailand ini sebagai tanda bermulanya perintah yang membenarkan orang ramai menanam pokok ganja di rumah, kata Menteri Kesihatannya.

Anutin Charnvirakul dalam pengumuman yang dibuatnya di laman Facebook pada 8 Mei berkata, beliau berharap pokok ganja akan menjadi tanaman seperti tanaman yang biasa di tanam di sekeliling rumah.

Menurut laporan CNN, undang-undang yang akan mula berkuat kuasa mulai 9 Jun ini akan membenarkan orang ramai di Thailand menanam pokok ganja.

Antaranya syaratnya;

Tanaman ganja perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak berkuasa

Pokok ganja mestilah gred perubatan

Ia perlu digunakan khusus untuk perubatan

Pokok yang ditanam tidak boleh dikomersialkan tanpa lesen yang sah

Rakyat Thailand dibenarkan tanam pokok ganja di rumah, tetapi ada syaratnya
Kelebihan pokok ganja untuk perubatan

Keputusan tersebut merupakan langkah terbaharu Thailand dalam menjadikan pokok ganja sebagai tanaman pertanian yang boleh memberi pulangan lumayan.

Bank Dunia sebelum ini menganggarkan kira-kira 1/3 tenaga kerja di negara tersebut terlibat dalam industri pertanian.

Selain itu, Thailand juga merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan kajian dan penggunaan perubatan.

Rantau ini sememangnya terkenal dengan hukuman berat termasuk hukuman mati kepada pesalah-pesalah kes dadah dan ganja.

Thailand juga melonggarkan undang-undang berkaitan ganja diperingkat kerajaan tempatan. Selepas penggunaanya dibenarkan, banyak syarikat minuman dan kosmetik di sana melancarkan pelbagai produk berasaskan CBD, iaitu satu sebatian dalam ganja yang tidak membuatkan penggunanya menjadi khayal.

Terdahulu, dalam perkongsian lanjut Anutin di Facebook pada 10 Mei, beliau berkata syarikat-syarikat pengeluar produk berasaskan ganja yang berdaftar juga dibenarkan menjual produk berasaskan ganja yang mengandungi kurang 0.02 tetrahydrocannabinol (THC), iaitu sebatian yang membuatkan pengguna menjadi khayal.

Langkah-langkah yang diambil Thailand dijangka memberi pulangan kira-kira 10 billion Bath (RM 1.26 billion) setahun hasil produk ganja dan hemp kepada kerajaan.