Malaysia Dateline

Rakyat tidak mahu dengar alasan bekalan vaksin tidak cukup

Pemuda AMANAH Perak sangat tidak bersetuju dengan cadangan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berhubung penggunaan gabungan vaksin AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech.

Pengarah Komunikasinya, Ikhmal Iskandar berkata, sejak awal lagi difahamkan bahawa gabungan vaksin Covid-19 dari jenis yang berbeza adalah dilarang.

Beliau menegaskan rakyat Malaysia tidak mahu mendengar alasan kerajaan termasuk masalah bekalan vaksin yang tidak mencukupi.

“Jangan kerana kegagalan kerajaan mendapatkan vaksin yang secukupnya maka dalil-dalil lain mula dicari bagi menutup kelemahan tersebut.

“Sesungguhnya kerajaan Malaysia sudah diperuntukkan berbilion ringgit untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, maka kerajaan sepatutnya lebih bertanggujawab untuk mendapatkan bekalan dos vaksin yang secukupnya bagi diberikan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Khairy pada 17 Jun lalu memaklumkan cadangan penggunaan gabungan vaksin AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech itu sudah dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) awal bulan ini.

Kaedah ‘mix and match’ kedua-dua vaksin itu, katanya, bagi melengkapkan dua dos pelalian. Walau bagaimanapun, ujarnya lagi, kerajaan tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan tersebut sebelum mendapatkan lebih banyak data.

Mengulas lanjut, Ikhmal berkata, isu seperti masalah bekalan vaksin Covid-19 itu seharusnya tidak akan berlaku jika kerajaan Malaysia sudah melakukan persediaan yang sewajarnya.

Sehubungan itu, tegasnya, Pemuda AMANAH Perak menggesa sidang Parlimen Khas diadakan segera bagi membincangkan permasalahan vaksin Covid-19.

“Program vaksinasi adalah isu terpenting negara bagi membolehkan kita keluar daripada pandemik Covid-19 ini.

“Jika kerajaan Malaysia masih gagal berbuat demikian, eloklah kerajaan yang ada ini berundur dan beri peluang kepada pihak lain dalam menguruskan isu pandemik ini.

“Nyawa rakyat Malaysia bukan taruhan dek kegagalan kerajaan Malaysia mendapatkan bekalan vaksin yang secukupnya,” tegas Ikhmal lagi