Rakyat tolak politik kerana ‘nama’, kata Dr Mahathir

Rakyat tolak politik kerana ‘nama’, kata Dr Mahathir

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sikap mementingkan diri dalam parti politik semata-mata untuk meraih jawatan dan mendapat nama, tidak akan kekal dalam memperoleh sokongan rakyat.

Dr Mahathir berkata, ia dapat dilihat dari kekalahan Umno yang tewas pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU-14) yang menyaksikan rakyat menolak perjuangan parti mereka yang tidak berasaskan agama, bangsa dan negara.

Ini kerana katanya, Umno yang dahulu memperjuangkan kemerdekaan tidak lagi berjuang untuk rakyat tetapi untuk diri sendiri.

“Kalau ada yang lebih layak daripada kita (boleh) berjuang untuk parti, kita harus terima. Tapi kita juga (berebut) mahukan tempat itu kerana kita nak imbuhan lebih. Jika itu sahaja diutamakan, percayalah akhirnya kita akan gagal.

“Ini yang kita lihat apabila parti Umno yang berjaya memperjuangkan nasib Melayu dan memerdekakan negara akhirnya ditolak rakyat sendiri kerana pemimpin tak lagi berjuang untuk pengikut dan rakyat, tetapi untuk temolok mereka.

“Apabila mereka lebih utamakan diri mereka, maka mereka tetap akan ditolak oleh rakyat dalam sistem demokrasi, rakyat (yang) akan menentukan sama ada kita layak atau tak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perhimpunan Agung Khas Bersatu, di MAEPS Serdang, hari ini.

Malah, tambah beliau negara turut menyaksikan bagaimana parti yang bersemangat setia pada negara akhirnya menjadi parti yang berjuang untuk kepentingan diri.

“Ini kita lihat berlaku dalam sebuah parti yang ditubuhkan yang dinamakan Umno. Pada mulanya dia memang setia pada perjuangan, tapi lama kelamaan kita dapati pemimpin parti Ini lebih utamakan kepentingan diri dari bangsa sendiri, maka berlakulah cara tak baik untuk mendapat tempat dalam parti.

“Kita lihat umpamanya apabila ditubuh cawangan Umno, pemimpin Umno yang jadi ketua cawangan tak begitu berminat untuk melihat orang lain yang lebih cekap daripadanya menyertai parti dalam cawangan.

“Ketua cawangan tak benarkan orang yang lebih pandai daripadanya mengetuai parti. Yang boleh menyertai cawangan itu hanya lah orang yang lebih bodoh daripadanya,” ujarnya.

Beliau turut mengumpamakan pelantikan tersebut akhirnya akan menyebabkan parti itu diwarisi oleh pemimpin-pemimpin yang kurang cerdik.

“Maka apabila meninggal ketua cawangan ini, penggantinya adalah orang yang lebih bodoh daripadanya.

“Yang bodoh tu pula tak benarkan orang yang lebih pandai daripadanya sertai cawangan, cuma yang lebih bodoh sahaja boleh masuk,”ujarnya.

Turut hadir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Setiausaha Agung, Datuk Marzuki Yahya; Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; dan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun.