Rakyat tolong rakyat, tidak lagi berharap kepada kerajaan

Oleh ARIF ATAN

Masyarakat Malaysia semalam sekali lagi dikejutkan dengan paparan imej yang menyayat hati di mana seorang lelaki ditemui mati tergantung dalam kejadian di jejantas Taman Impian Ehsan, Balakong, Selangor.

Ini bukanlah kali pertama, tidak beberapa lama sebelum itu kita juga mendapat berita seorang warga emas ditemui mati di rumahnya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan dipercayai bunuh diri akibat kemurungan dijangkiti Covid-19.

Sebagaimana yang dilaporkan media pada 18 November 2020, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 266 kes bunuh diri dilaporkan sejak 18 Mac hingga 30 Oktober lalu ketika PKP 1.0.

Kenaikan yang mendadak sebanyak 20 peratus dari tahun 2019 yang telah mencatatkan angka 188. Satu fenomena yang amat merisaukan terutamanya dengan kesan pandemik yang akan lebih mencengkam dalam bulan-bulan yang mendatang.

Apa yang kita saksikan adalah manifestasi kesan pandemik kepada kesihatan mental. Bermula dengan kemurungan kerana tertekan dalam menghadapi cabaran sosial, ekonomi dan kekeluargaan seterusnya mengambil jalan keluar dengan membunuh diri.

Fenomena yang menakutkan ini memang telah dijangka dan Ketua Pengarah Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), Tedros pernah mengungkapkan bahawa “Pemimpin dunia kena bertindak pantas dan secara tuntas untuk memperuntukkan perbelanjaan dalam menyediakan program kesihatan mental demi menyelamatkan nyawa ketika pandemik atau pascanya.”

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menyedari hakikat ini telah memperuntukan NZ$1.9bn untuk program rejunevasi kesihatan mental dan mutakhir mengumumkan NZ$28 juta untuk program kesihatan mental di peringkat sekolah rendah.

Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah-langkah sewajarnya dalam berhadapan fenomena ini. Saya tidak berminat untuk membincangkan apa yang telah dilakukan dan apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan kerana itu adalah tanggungjawab mereka dan mempunyai semua sumber dan kepakaran.

Namun, apa yang lebih menyentuh perhatian dan perasaan saya ialah respon rakyat Malaysia. Rakyat telah tampil dan mengambil peranan keterhadapan dalam bersama sama menangani permasalahan sama ada dalam bentuk sumbangan keperluan harian, sokongan emosi dan memaparkan solidariti yang tidak berbelah bahagi bersama komuniti.

Secara sukarela mereka tampil dengan pelbagai kreativiti dalam keadaan sumber mereka yang amat terhad. Mereka membuka pusat-pusat khidmat, mengedarkan pek-pek makanan, mengadakan sistem sokongan kepada keganasan domestik dan menyediakan khidmat kaunseling secara percuma.

Yang mutakhir ialah kempen bendera putih; satu gerak isyarat simbolik “saya perlu bantuan”. Tiada tahu mana punca mulanya gerakan tersebut tetapi ianya mendapat sambutan yang meluas dari rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Ini sudah pastinya satu inisiatif dari elemen-elemen yang ikhlas untuk membantu rakyat yang tertekan.

Semua ini berlaku ketika mana elit politik masih lagi bergelumang dengan pendekatan parokial yang sempit, tuding menuding antara satu lain dan berdebat isu remeh seperti sama ada Parlimen perlu bersidang secara hibrid atau bersemuka.

Apakah tindakan ini memaparkan rakyat sudah sampai kepada tahap “tidak lagi memberikan harapan kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah mereka” dan sudah sampai kepada situasi di mana “Rakyat tolong Rakyat” menjadi pilihan utama.

Lebih penting dalam suasana rakyat sudah jelek dengan budaya kepimpinan politik yang dicemari dan diwarnai oleh perkauman sempit, ekstrem agama yang melampau, amalan korupsi kronik, mementingkan diri sendiri dan dipandu oleh prinsip-prinsip garis parti paroki, adakah ianya satu petanda bahawa permulaan bibit-bibit untuk rakyat berganding bahu dalam satu pergerakan massa yang mewakili nadi, harapan dan visi rakyat kearah Malaysia yang lebih segar?

Adakah rakyat ingin menghantar satu mesej yang lantang bahawa masa hadapan negara tidak boleh lagi dibiarkan atas tangan elit politik yang sudah tidak memberikan apa apa harapan kepada masa depan negara?

Rakyat telah membuktikan kemampuan mereka setakat ini dan adakah usaha ini akan mempunyai nafas yang panjang dan akhirnya memungkinkan perubahan yang didambakan?

*ZAHARUDIN OTHMAN merupakan Timbalan Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan dan Ketua AMANAH Titiwangsa.