Malaysia Dateline

Rakyat wajar hukum Umno jika PRN dalam masa terdekat

Rakyat wajar menghukum Umno sekiranya Pilihanraya Negeri (PRN) Johor diadakan kerana tindakan itu dianggap menyusahkan rakyat.

Setiausaha Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Mohd Faizul Salleh dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa agenda utama pemimpin dalam negeri ini adalah dengan membantu rakyat.

“Cuba tengok bila ada mana-mana pasukan dari kalangan pembangkang pelbagai sekatan dilakukan tetapi bila ianya dari mereka (kerajaan) ianya dibolehkan.

“Bukan sekatan sahaja malah Umno yang memimpin negeri ini mahu mengadakan PRN dalam usaha mengukuhkan kuasa mereka.

“Tiada sebab untuk membubarkan Dun dan mengadakan PRN kerana ianya bukanlah suatu keperluan yang diperlukan oleh rakyat dalam negeri ini,” jelasnya.

Faizul Salleh

Dalam pada itu beliau turut menempelak tindakan Menteri Besar (MB) Johor, Dato Hasni Mohamad yang terus mendiamkan diri dan membiarkan spekulasi PRN ini terus berjalan.

Tambahnya lagi, tindakan Hasni itu adalah sebuah rasa tidak bertanggungjawab dari seorang pemimpin kepada rakyat.

“Beliau dilihat tidak langsung menjawab pelbagai persoalan yang timbul dari rakyat yang semakin risau dengan situasi sama ada pembubaran itu berlaku atau tidak.

“Sebab dan asas pembubaran Dun dilakukan pun tidak jelas dan ini menyukarkan pentadbiran beliau dalam memberi servis kepada rakyat.

“Rakyat wajar menghukum mereka (Umno) sekiranya PRN diadakan dalam masa terdekat kerana bukan sahaja menyusahkan malah ia gambaran bahawa Umno hanya tamakkan kuasa sahaja,” jelasnya lagi.