Orang ramai bangkit menzahirkan rasa tidak puas hati dengan jumlah kompaun melanggar prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan Covid-19 yang berbeza antara rakyat biasa dan wakil rakyat.
Reaksi awam itu muncul susulan seorang lelaki di Jempol, Negeri Sembilan yang menziarahi kubur semalam dikenakan kompaun RM2,000.
Lelaki berusia 21 tahun yang datang bersama dua anak saudaranya ke tanah perkuburan itu ditahan oleh pasukan khas pematuhan SOP fasa satu perintah kawalan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) jam 11.40 pagi di Tanah Perkuburan Islam FELDA Palong 12 dan 13.
Walau bagaimanapun, jumlah kompaun dikenakan terhadap anak muda itu lebih tinggi berbanding Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang dikompaun hanya RM1,500 kerana bersalah mengunjungi sebuah pusat pameran kenderaan di Pulau Pinang, 5 Jun lalu.
Bahkan, tindakan kompaun serta-merta diterima anak kampung itu juga berbeza dengan tempoh lebih sebulan terhadap Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Jeneri.
Ekoran itu, rata-ratanya berpendapat nilai kompaun itu sangat tidak adil dan menuntut penguatkuasa mempunyai budi bicara memandangkan sebahagian besar rakyat tertekan dengan impak sekatan pergerakan.
“Baik pandu uji Ford Raptor. RM1,500 saja. Itu pun berminggu nak siasat,” tempelak Akram Yusof.
Sementara itu, pengguna Facebokk Khairuddin Ayip secara sinis berkata, “Hanya wakil rakyat saja dikompaun tidak lebih RM2,000.”
Orang ramai juga bersimpati dengan nasib pemuda yang dikompaun itu yang semestinya merindui orang tersayang pada Aidiladha ini yang telah pergi dijemput Ilahi.
Sehubungan itu, ramai berpendapat adalah lebih baik anggota berkuasa mempunyai budi bicara dan timbang rasa dengan cukup sekadar menyuruh pemuda tersebut pulang.
“Kasihan, tentunya rindu arwah ahli keluarga barulah menziarahi kubur. Tidak perlulah terus saman.
“Nasihat dahulu suruh pulang. Ada pihak yg ada bukti ketara pun tidak terus disaman tetapi hanya dipanggil utk soal selidik dahulu,” kata Lim Hooi Fong.