RAM ratings mengesahkan semula penarafan AAA ke atas entiti perbankan Hong Leong

RAM ratings mengesahkan semula penarafan AAA ke atas entiti perbankan Hong Leong

RAM Rating Services Bhd telah mengesahkan semula penarafan institusi kewangan (FIR) AAA/Stabil/P1 ke atas Hong Leong Bank Bhd (HLB), Hong Leong Islamic Bank Bhd (HLISB) dan Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

Agensi penarafan itu juga telah mengesahkan semula penarafan kredit korporat (CCR) Hong Leong Financial Group Bhd (HLFG) kepada AA1/P1.

“Pengesahan semula ini telah diterajui oleh rekod cemerlang yang berterusan dalam kualiti aset di seluruh kitaran kredit serta peruncitan tempatan dan francais PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) bank yang terkemuka itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, CCR jangka panjang HLFG berada satu takuk di bawah FIR jangka panjang AAA HLB bagi mencerminkan subordinasi struktur kumpulan sebagai syarikat pegangan yang tidak beroperasi serta nisbah penggearan yang sederhana dan tahap leveraj berganda.

“Pengesahan semula penarafan HLISB serta HLIB dibuat berdasarkan kepada peranan strategik mereka dalam perbankan Islam dan pelaburan kumpulan, yang seterusnya ditunjangi oleh penarafan HLB.

“Sebagai sebahagian daripada kumpulan perbankan yang lebih besar, HLISB dan HLIB secara ketara boleh memanfaatkan rangkaian cawangan syarikat induk mereka termasuk dalam saluran pengedaran, fungsi perbendaharaan dan sistem pengurusan risiko,” katanya.

Menurut RAM lagi, kedudukan mudah tunai dan pembiayaan HLB yang kukuh telah didorong oleh asas deposit pelanggan yang luas.

“Bank berkenaan memiliki antara bahagian deposit runcit tertinggi dalam industri (56 peratus), ini menambahkan kepelbagaian dan kestabilan dalam profil pembiayaan syarikat pembiayaan (industri: 38 peratus).

“Tahap permodalan adalah sihat, dengan ekuiti peringkat -1 penuh biasa dan jumlah nisbah modal sebanyak 12.4 peratus serta 16.1 peratus pada penghujung September 2018,” katanya.

— BERNAMA