RAM ratings : pertumbuhan eksport 3.1 peratus dalam Disember 2018

RAM ratings : pertumbuhan eksport 3.1 peratus dalam Disember 2018

RAM Rating Services Bhd menjangkakan pertumbuhan eksport Malaysia akan melembap kepada 3.1 peratus pada Disember 2018 berbanding 4.7 peratus yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun sebelumnya berikutan penurunan permintaan daripada pasaran utama selepas ketiadaan aktiviti menambah pembelian.

Agensi penarafan itu dalam satu kenyataan, berkata eksport negara-negara ekonomi terbuka di rantau ini turut menyusut dari tahun ke tahun pada Disember, memberi isyarat permintaan global yang lebih perlahan dan perniagaan dijangka akan menangguhkan tempahan sehingga ada petunjuk yang lebih jelas daripada krisis perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

“Selaras dengan permintaan yang lebih lemah untuk input perantaraan bagi eksport, import dijangka menguncup sebanyak 3.1 peratus pada bulan berkenaan, ini meningkatkan lebihan dagangan secara menyeluruh sebanyak RM12.0 bilion,” katanya.

Dalam Disember 2017, import naik 7.9 peratus.

RAM Ratings ketika bercakap mengenai prospek memberitahu rangsangan eksport untuk Malaysia akan kekal terhad dalam beberapa bulan ini disebabkan permintaan global yang tidak menentu dan ini terkait dengan perbincangan perdagangan AS-China.

Di sebalik ketidakpastian dan ketidakstabilan global, nilai bagi pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor pembuatan terus melonjak kepada RM33.6 bilion pada suku ketiga 2018, secara keseluruhan, ia meningkatkan jumlah yang diluluskan kepada RM48.8 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2018 (jumlah keseluruhan 2017 : RM21.5 bilion).

Menurut RAM Ratings lagi terdapat juga peningkatan yang dapat dilihat dalam kepentingan di sektor kimia serta elektrik & elektronik, agensi penarafan itu berpendapat sektor tersebut akan membolehkan Malaysia mendapat manfaat daripada perbezaan perdagangan yang timbul akibat daripada perang perdagangan AS-China.

Ketua Penyelidikan RAM Ratings Kristina Fong berkata, adalah amat mengujakan apabila Malaysia kekal relevan dan terus menjadi penggerak utama dalam rantaian nilai global.

“Jika pelaburan-pelaburan yang diluluskan terlaksana, Malaysia akan mendapat tambahan kapasiti bagi memanfaatkan sepenuhnya faedah daripada lencongan perdagangan ini, sekali gus menyokong eksport untuk tempoh jangka panjang,” katanya lagi.

— BERNAMA