Malaysia Dateline

Ramadan bulan fitnah, tanam kebencian kepada Rohingya?

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menegaskan pemimpin tidak harus berdiam diri dengan isu pelarian Rohingya ketika ada pihak menghasut rakyat.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, pemimpin mesti tampil menyatakan pendirian untuk memberi pencerahan dan mengajak masyarakat kepada nilai kemanusiaan.

“Pemimpin mesti berani pertahankan prinsip apabila ada dalam kalangan rakyat mula geylong dan menghasut rakyat lain untuk abaikan kewajipan.

“Kita tak nak pemimpin yang yang merosakkan jati diri rakyat, mendiamkan diri kerana ingin ‘popular’. Bila popular untuk bantu, dia hero,” katanya dalam Twitter.

Khalid berkata demikian ketika mengulas pendirian Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pelarian Rohingya dalam Tazkirah Nuril Anwar malam tadi.

Anwar menegaskan sokongan kepada pelarian Rohingya adalah sama dengan prinsip yang digunakan ke atas penduduk Palestin yang dizalimi Zionis.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, bantuan dari segi kemanusiaan dan bersifat sementara yang patut diberi bukan bermakna memberikan kewarganegaraan kepada pelarian terbabit.

Sehubungan itu, Anwar berpendapat kerajaan boleh menyediakan satu kawasan khas yang dikawal untuk menempatkan pelarian Rohingya sementara menunggu mereka dihantar ke negara ketiga.

Menyentuh tindakan pihak tidak bertanggungjawab melakukan terjemahan yang salah bermotifkan menimbulkan sentimen kebencian, Khalid menganggap hal tersebut sebagai usaha menyokong keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Dahlah (etnik Rohingya) dizalimi, difitnah bukan-bukan pula. Golongan pemfitnah upahan ini sediakan video, rakaman suara dan lain-lain semata-mata nak capai matlamat mereka, iaitu menyokong tindakan kerajaan PN.

“Ramadhan bulan fitnah dan tanam benci terhadap Rohingya? Semua ini untuk nak halalkan kekejaman kerajaan Melayu Islam? Dulu musim fitnah dan tanam benci terhadap PH,” bidasnya.

Sehubungan itu, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan mengingatkan rakyat Malaysia agar berjaga-jaga dengan penularan video atau imej fitnah yang sengaja memburukkan etnik Rohingya.

“Mereka tidak kisah sama ada benar atau palsu, asalkan matlamat tercapai. Kena waspada,” tegas Khalid lagi.