Ramadan membawa keinsafan setelah meringkuk di penjara

Ramadan membawa keinsafan setelah meringkuk di penjara

Tiada perkataan yang mampu keluar daripada bibirnya melainkan airmata yang sarat kerinduan saat diberi peluang bertemu dan memeluk ibunya yang sudah enam tahun tidak ditemui.

Sesungguhnya, inilah nikmat Ramadan yang cukup bermakna buat saya, menurut Ahmad (bukan nama sebenar) yang kini menjalani kehidupan di sebalik tirai besi atas kesilapan lampaunya.

Tubuh ibunya yang uzur dan hanya berkerusi roda dipeluk dan dicium bagai tidak mahu dilepaskan.

Anak ketujuh daripada lapan adik-beradik ini memberitahu Bernama, dia tidak mampu melelapkan mata menantikan saat pertemuan hari ini.

“Enam tahun sudah cukup lama untuk menantikan saat ini, untuk bertemu dengan mak dan memeluknya, “ kata Ahmad yang ditemui dalam Program Pautan Ramadan di Sebalik Tirai Besi anjuran badan bukan kerajaan, Yayasan Prihatin Malaysia (YPM) dan Penjara Kajang baru-baru ini.

Disabitkan kesalahan dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, Ahmad enggan mengingati kisah lampau yang telah meragut kebebasannya.

Beliau yang berasal dari Rawang, Selangor dihadapkan ke mahkamah pada tahun 2004 dan dijatuhi hukuman penjara selama 16 tahun pada tahun 2010.

“Setiap orang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Saya hanya mampu memohon pengampunan daripada Allah atas dosa dan kesalahan yang dilakukan.

“Kehidupan sebagai penghuni penjara mengajar saya mengenal diri dan mengenal Allah.

“Itu adalah nikmat dan rahmat yang Allah ingin berikan kepada saya,” katanya yang amat berharap masih diberikan kesempatan untuk menjaga ibunya setelah keluar dari penjara pada tahun 2026 nanti.

Sebelum ini dia yang selalu membawa ibunya ke klinik untuk rawatan penyakit kencing manis dan darah tinggi yang dihidapi ibunya.

“Namun sejak saya masuk penjara, kesihatan mak semakin teruk. Mungkin dia tertekan dan sedih atas apa yang berlaku kepada saya,” ujar Ahmad penuh sesal.

“Apabila hukuman suami dikurangkan daripada hukuman gantung kepada penjara seumur hidup, segala harapan dan semangat saya serta anak-anak kembali semula.

“Ibarat mati hidup semula’ “ demikian luahan hati Hidayu, berusia dalam lingkungan 40an, berkongsi perasaan tentang suaminya yang merupakan salah seorang penghuni Penjara Kajang sejak lapan tahun lepas.

Ibu kepada lapan anak yang semakin meningkat dewasa itu tidak pernah berputus asa berusaha dengan menghantar surat rayuan sehingga permohonan pertukaran hukuman diterima pada tahun 2014.

Suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Firdaus atau Botak,41, ditahan dibawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya kerana mengedar dadah pada tahun 2008 sebelum dijatuhi hukuman penjara pada tahun 2010.

Menurut Firdaus, kes tersebut berlaku pada tahun 1999 apabila dia dan beberapa rakannya diserbu oleh sepasukan polis di sebuah rumah di Jalan Ipoh.

Disebabkan kekurangan bukti dia dibebaskan pada tahun 2002.

“Bagaimanapun pihak pendakwaan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya dan akhirnya saya ditahan semula dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 2010.

“Inilah ketentuan hidup saya, namun saya bersyukur kerana Allah masih memberi saya peluang untuk hidup dan berjumpa dengan keluarga apabila hukuman tersebut ditukarkan kepada seumur hidup iaitu 20 tahun penjara,” katanya yang bakal dibebaskan pada 2023.

Selain isterinya, dua anak lelakinya berusia 13 dan 11 tahun turut hadir untuk bersama-sama berbuka puasa dan bersolat maghrib.

Menurut Firdaus, isterinya adalah sumber kekuatan yang tidak pernah jemu datang memberi sokongan walaupun Hidayu sendiri sedang menanggung penyakit barah payudara sejak dua tahun lepas.

“Sebelum ini kami hanya berjumpa di cermin kaca dan berbual melalui intercom. Kali ini berbeza apabila kami dapat berjumpa secara terus dan berbuka puasa dan bersolat berjamaah bersama.

“Ini adalah hadiah Ramadan dan hari raya yang cukup bermakna buat saya di sini,” katanya yang sangat merindui suasana berkumpul pada pagi raya bersama anak-anak dan ahli keluarga yang lain.

Hidayu yang berasal dari Gombak, terpaksa memikul tugas sebagai ketua keluarga dan hanya bergantung pada dua anaknya yang telah bekerja bagi menyara keluarga.

Enam anak lain masih bersekolah termasuk yang bongsu, satu-satunya anak perempuan berusia 9 tahun.

“Paling buatkan akak sedih ketika pagi raya apabila anak-anak merindui untuk bersalam dengan ayah mereka. Adakalanya akak menangis sendiri dalam bilik terutama melihat anak-anak yang sedang membesar memerlukan ayah mereka,” katanya yang masih mendapat rawatan susulan setelah menjalani pembedahan membuang sebahagian payudaranya.

Pengaruh dadah dan kawan telah mengorbankan usia muda Amir, 26 di sebalik tirai besi sejak dua tahun lepas.

Berasal dari Cheras, Amir yang juga merupakan anggota beruniform bertindak di bawah pengaruh dadah ketika melakukan rompakan berkumpulan bersenjata di sekitar Kajang sehingga dia dan tiga lagi rakannya ditangkap pada tahun 2014.

“Saya sudah mengambil dadah syabu sejak berusia 18 tahun. Ketika hendak melakukan sesuatu misi (rompakan) saya akan ambil lebih sedikit, syabu dan eramin 5 untuk kesan yang lebih.

“Bila dah ambil dadah, memang tak ada perasaan takut lansung. Kita berasa cepat nak marah dan boleh melakukan apa sahaja diluar kawalan,” ujar anak bongsu daripada tiga beradik berkongsi cerita tentang penglibatannya dalam jenayah.

Paling dikesalkan apabila tidak sempat menemui bapanya yang meninggal dunia akibat barah darah ketika dia baru menjadi penghuni penjara.

“Saya tahu ayah kecewa dengan saya sehingga dia meninggal dunia. Ini jugalah yang membakar semangat saya untuk berubah menjadi insan yang lebih baik. Saya mahu tebus balik kesalahan yang pernah saya lakukan sebelum ini,” katanya kehidupan di dalam penjara memberi banyak hikmah di dalam hidupnya.

Paling utama ialah memantapkan aspek kerohanian terutama solat, katanya yang sebelum ini tidak pernah melakukan solat sehingga dia dimasukkan ke penjara.

Program Pautan Ramadan Di Sebalik Tirai Besi yang julung kali diadakan di Penjara Kajang merupakan salah satu daripada program pembangunan dan pembentukan semula insan yang dilaksanakan.

Pengarah Penjara Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Darussalam Budin berkata ia sebahagian daripada usaha mengeratkan hubungan silaturrahim antara penghuni dan keluarga.

“Seramai 50 orang penghuni lelaki yang dipilih mendapat peluang bertemu dan mendakap ahli keluarga masing-masing yang pastinya dapat mengubati sedikit kerinduan mereka.

“Ini juga sebagai motivasi kepada penghuni agar mengekalkan disiplin dan berkelakukan baik semasa di dalam penjara,” kata beliau ketika berucap merasmikan majlis tersebut.

Sementara itu, Pengerusi YPN, Ir Ismail Abd Rahman bercadang untuk meluaskan program sumbangan kepada banduan dan keluarga masing-masing sebagai salah satu tanggungjawab sosial dalam membantu usaha pemulihan yang dilaksanakan Jabatan Penjara.

YPN yang sebelum ini memberi fokus membantu golongan yang memerlukan seperti fakir miskin, ibu tunggal dan anak-anak yatim meluaskan skop bantuan kepada banduan dan keluarga mereka yang sering dipinggirkan.

“Ini juga mungkin boleh membantu keluarga banduan lebih positif dan optimis menerima kepulangan mereka,” kata beliau.

COMMENTS

Wordpress (0)