Malaysia Dateline

Ramai ahli Parti Konservatif tolak perjanjian Brexit Theresa May

Majoriti ahli Parti Konservatif menolak perjanjian Brexit yang dipelopori Theresa May, Perdana Menteri Britain, berdasarkan kaji selidik yang disiarkan umum pada Jumaat lepas, lapor Reuters.

Buat masa ini, Theresa May masih belum mendapat sokongan penuh daripada Parlimen dan kaji selidik tersebut menunjukkan bahawa ahli Parlimen Konservatif telah berjaya didesak oleh ahli-ahli parti untuk menolak perjanjian Brexit tersebut ketika cuti panjang Krismas baru-baru ini.

Sebelum ini Theresa May telah menunda pengundian di Parlimen pada Disember lalu kerana beranggapan bahawa majoriti akan menolak perjanjian Brexit beliau. Sekarang ini Theresa May sedang berusaha untuk mendapatkan persetujuan daripada pemimpin-pemimpin Kesatuan Eropah (European Union – EU) untuk mengadakan pengundian yang dijadualkan akan berlangsung pada 14 Januari 2019.

Kaji selidik yang dilakukan mendapati 59 peratus menolak perjanjian Brexit Theresa May, manakala hanya 38 peratus yang bersetuju. Kaji selidik ini telah dilakukan kepada keseluruh 1,215 ahli Parti Konservatif Britain. Malah, lebih daripada separuh ahli parti tersebut menolak perjanjian Brexit itu kerana percaya bahawa perjanjian ini tidak menghormati semangat referendum Brexit yang telah dilakukan pada tahun 2016.

Kaji selidik tersebut telah dilakukan pada 17 hingga 22 Disember oleh YouGov yang menjalankan kajian terhadap enam parti politik terbesar di Britain selama tiga tahun. YouGov telah didanai oleh Majlis Penyelidikan Ekonomi dan Sosial (Economic and Social Research Council – ESRC).

Para usahawan sebelum ini memberi amaran jika tiada perjanjian Brexit yang dipersetujui, ia berpotensi untuk menganggu ekonomi negara dengan pelabuhan akan dikenakan pemeriksaan ketat sekaligus menganggu rantaian ekonomi.