Ramai ahli Pas Perak dalam diam sokong AMANAH

Ramai ahli Pas Perak dalam diam sokong AMANAH

Masih belum bersedia untuk menyatakan sokongan secara terbuka, rata-rata ahli Pas di Perak dijangka akan memberi undi kepada AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ahli Jawatankuasa AMANAH Perak, Ir Megat Shariffudin Ibrahim memberitahu situasi tersebut berlaku kerana wujudnya tekanan di peringkat akar umbi termasuk dipulaukan masyarakat setempat.

“Ahli-ahli Pas sedikit rasa fobia kalau nak terang-terang sokong AMANAH dan Pakatan Harapan.

“Kalau keluar dari Pas memang terjadi dia akan diboikot termasuklah ketika kenduri-kendara.

“Jadi atas faktor itu, mereka selesa untuk tidak isytihar secara terbuka sokongan kepada AMANAH,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline di Pasar Minggu Changkat Jering, 3 Mac lalu.

Timbalan Ketua AMANAH Bukit Gantang itu berkata, di kawasannya sendiri bukan sedikit ahli Pas yang mengambil pendirian tidak aktif dalam parti mereka kerana dalam diam menyokong AMANAH.

“Kawan-kawan dari Pas di Bukit Gantang ini masih ada secara diam menyokong AMANAH. Dulu kawasan seperti di Ayer Kuning dan Bendang Nibong memang antara lubuk Pas.

“Sekarang ramai memilih AMANAH. Itu yang terjadi sekarang ini termasuk kawan baik saya yang asalnya penyokong tegar Pas,” jelas Megat Shariffudin lagi yang juga merupakan Penyelia AMANAH Dun Changkat Jering.

5.8
OVERALL SCORE
4 user votes x 7.3