Kisah mayat bayi disimpan di dalam peti sejuk lebih dua minggu di sebuah hospital swasta kerana bapa tidak mampu melunaskan bil perubatan telah mendapat perhatian rakyat Malaysia dan pihak berkuasa.
Insiden ini turut mendapat perhatian pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang memberi penerangan tentang hukum hakam agama apabila jenazah diperlakukan sedemikian.
Dalam satu kenyataan, pejabat itu menegaskan bahawa perbuatan membeku mahupun membedah dan mengawet mayat adalah haram di sisi agama Islam kerana ia menyakiti jenazah.
“Diharamkan menyakiti jenazah kerana manusia merupakan makhluk yang dimuliakan dan menyakiti jenazah adalah sama sepertimana menyakitinya ketika hidup.
“Sebagaimana maklum, proses pembedahan, pembekuan dan pengawetan merupakan salah satu bentuk perbuatan yang menyakiti jenazah.
“Perbuatan menyakiti jenazah dikira sebagai suatu bentuk penganiayaan dan amat menyalahi hukum syarak kecuali ada sebab-sebab darurat tertentu, maka ia diharuskan sekadar keperluan darurat tersebut,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Pejabat itu berkata, hukum syarak telah menetapkan bahawa pengurusan jenazah sunat dilakukan sesegera mungkin merangkumi kesemua tatacara pengurusan.
Namun katanya, jika penangguhan tersebut menyebabkan berlakunya perubahan pada tubuh jenazah, maka hukum mempercepatkan pengurusan jenazah tersebut menjadi wajib.
Dalam situasi sekiranya terdapat keperluan yang mendesak, maka harus melakukannya dengan syarat ia mestilah dilakukan secara penuh berhati-hati mengikut keperluan dan berlandaskan prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berautoriti.
“Selain itu, pengurusan tersebut mestilah dilakukan secara tertutup dan menjaga aib jenazah serta haram menyiarkannya secara terbuka,” ujarnya lagi.
Baca juga: Dikecam sebab guna Ajinomoto dalam masakan, ini respon Dr Malar