Malaysia Dateline

Ramai anak muda susah, muak dengar percaturan politik

Pembangkang perlu segera menghentikan segala perbincangan ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan kembali bersatu memfokuskan isu-isu rakyat, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurutnya, rakyat terutama anak muda sudah tidak mahu lagi mendengar tentang percaturan politik merampas kuasa dan desakan-desakan untuk diadakan pilihan raya.

Sebaliknya, pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) itu berkata, rakyat yang sedang lapar dan susah memerlukan blok pembangkang untuk membantu menyelesaikan masalah utama mereka terutama isu pekerjaan.

“Ia bukan kerana anak muda berdiam atau tidak kisah dengan situasi politk negara. Cuma realitinya sekarang mereka lapar, miskin, dan susah menyebabkan mereka tidak mahu melibatkan diri langsung dengan dunia politik.

“Mereka sudah terlalu lesu lihat ahli politik tidak berkhidmat untuk mereka tetapi lebih kepada untuk kedudukan, jawatan dan kepentingan peribadi.

“Sebab itu apabila kita bicara soal pilihan raya sekarang, rakyat lagi naik muak. Mereka tidak mahu dengar percaturan politik.

“Mereka mahu isu utama mereka diselesaikan,” katanya ketika siaran langsung di Facebook The Perspektif malam tadi.

Tambah bekas Menteri Belia dan Sukan itu lagi, isu pendidikan juga antara yang penting perlu ditangani terutama kesukaran pelajar untuk meneruskan pembelajaran atas talian disebabkan ketiadaan peranti dan akses kepada internet.

Menurutnya, sehingga 37 peratus anak muda dilaporkan tiada akses kepada komputer riba dan masalah tersebut jug berpanjangan apabila kelas-kelas dilakukan secara atas talian.

Menyentuh isu peniaga kecil, Syed Saddiq berpendapat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 semakin membebankan mereka apatah lagi ditambah dengan sikap kerajaan yang ‘flip-flop’ dan tidak pernah belajar daripada kesilapan semasa PKP fasa pertama.

“Apabila tiada kestabilan politik, mereka tidak dapat fokus kepada isu mustahak. Kita sudah setahun berdepan dengan Covid-19, tapi PKP 2.0 masih lagi mengulangi kesilapan sama.

“Kilang-kilang dan tauke besar semua masih boleh beroperasi dan dapat pengecualian. Tapi apa nasib peniaga kecil? Sebelum ini hadkan sehingga jam 8 malam sahaja. Lepas kena desak, kutuk, caci di media sosial, baru buat u-turn.

“Fasa kedua ini juga tidak ada suntikan dana dan moratorium automatik. Nak berunding dengan bank pun bermasalah kerana orang kecil akan terus dipijak oleh bank-bank besar,” kata bekas Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu lagi.