Malaysia Dateline

Ramai degil berjogging ingkar Perintah Kawalan Pergerakan

Masih ramai yang dilihat melanggar penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun sudah masuk hari kelima semalam.

Pemerhati awam yang mahu dikenali Jamal merakamkan 10 gambar individu dan pasangan yang berjogging di kawasan elit Mont Kiara di ibu negara.

Ada yang mengenakan penutup mulut dan hidung manakala sebahagian lagi langsung tidak mengenakan pelindung ketika kes jangkitan Covid-19 sudah mencecah 1,306 dengan 10 kematian semalam.

Sikap tidak peduli dalam usaha mengekang penularan wabak mengecewakan banyak pihak.

Lebih membimbangkan mereka yang berada di Segambut ini seolah-olah tidak menghiraukan risiko menjadi mangsa kepada pandemik tersebut.

Segambut berjiran dengan Kepong di utara dan Lembah Pantai di selatan yang termasuk antara 18 daerah mempunyai jumlah kes Covid-19 tertinggi di negara ini.

Sikap sebahagian rakyat yang melanggar PKP termasuk golongan elit ketika penularan sedang mengganas dibimbangi akan menjadikan matlamat untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak membawa maut itu sukar dicapai.

Tanpa mengenakan penutup mulut dan hidung, mereka mungkin kebal dari serangan Covid-19.