Malaysia Dateline

‘Ramai doktor senior bangkit suarakan hak doktor muda’

Keputusan kerajaan untuk memansuhkan elaun kritikal bagi pegawai perubatan baru bermula tahun depan terus mengundang bantahan termasuk kalangan doktor senior.

Facebook Public Health Malaysia dalam hantarannya mendedahkan rata-rata komen dan pendapat doktor perubatan di negara ini tidak meminta dan mendesak agar gaji dan elaun dinaikkan.

Namun, jelasnya, mereka benar-benar berharap agar manfaat, jaminan dan imbuhan yang sedia ada dikekalkan.

“Walaupun doktor senior tidak terkesan akan polisi baru ini, namun ramai doktor doktor senior bangkit menyuarakan hak bagi doktor muda.

“Persatuan Perubatan Malaysia telah melancarkan petisyen dan telah mendapat lebih 72,000 tandatangan dalam tempoh 24 jam!

“Di media sosial, doktor-doktor telah menambah “frame” #JusticeForJuniorDoctors, Overworked, Underpaid sebagai solidariti kepada doktor doktor muda,” dedahnya.

Menerima lebih 1,200 komentar dan lebih 3,700 perkongsian hanya dalam tempoh tujuh jam dimuatnaik, laman memperjuangkan hak untuk sihat itu turut menceritakan realiti tugas doktor oncall.

“Sekiranya anda pernah ada pengalaman masuk ke hospital, anda akan perasan ada doktor yang mukanya kelihatan dari awal pagi sehingga ke tengah malam.

“Apabila ada kes kritikal di wad pada 3 pagi, doktor yang sama juga muncul dengan rupanya yang sudah kusut masai! Itulah doktor oncall.

“Doktor oncall bertanggungjawab untuk melihat dan merawat semua pesakit selepas 5 petang.

“Lebih mencabar, pada hujung minggu, doktor oncall ini perlu untuk menguruskan kes untuk 24 jam tanpa henti,” jelas platform untuk menyampaikan maklumat mengenai perkembangan dan isu berkaitan kesihatan awam itu.

Laman itu memberitahu, sebagai imbuhan, doktor oncall boleh membuat tuntutan kerja lebih masa sebanyak RM200 untuk tugasan selama 15 jam iaitu bersamaan RM13.30 untuk setiap jam.

“Bagi pelajar perubatan dan doktor-doktor muda yang baru dilantik, cabaran yang lebih besar menanti mereka.

“Mereka tidak lagi mendapat jaminan untuk dilantik sebagai Pegawai Perubatan tetap selepas tamat latihan Housemanship,” katanya.

Akibatnya, jelas Public Health Malaysia lagi, banyak manfaat sebagai penjawat awam tidak diterima dan laluan untuk melanjutkan pelajaran untuk menjadi pakar juga semakin sukar.