Malaysia Dateline

Ramai golongan muda hidap kolesterol tinggi dalam darah

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye mendedahkan penyakit kronik tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi dan hiperkolesterolemia dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas adalah sangat tinggi.

Menurutnya, peratusan NCD paling tinggi dicatatkan adalah hiperkolesterolemia atau kolesterol tinggi dalam darah iaitu sebanyak 47.7 peratus rakyat Malaysia diikuti hipertensi (30.3 peratus) dan diabetes (17.5 peratus).

Jelasnya, beban penyakit hiperkolesterolemia dalam kalangan golongan muda kurang 40 tahun mendapati kategori 35 hingga 39 tahun paling tinggi menghidap penyakit itu.

Kategori umur sama juga paling tinggi menghidap penyakit hipertensi dan diabetes iaitu masing-masing 23.9 peratus dan 12.9 peratus.

Beliau juga berkata, sebanyak 17.5 peratus atau 3.6 juta rakyat Malaysia menghidap penyakit diabetes manakala dianggarkan sebanyak 17.7 peratus rakyat Malaysia mempunyai indeks jisim tubuh (BMI) obes.

Statistik tersebut mengikut kaji selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2015.

Dr Boon Chye berkata demikian ketika menjawab soalan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) mengenai penyakit kronik dalam kalangan generasi muda di Dewan Rakyat, semalam.

Hiperkolesterolemia berlaku apabila terdapat terlalu banyak kolesterol dalam darah yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit kardiovaskular (CVD) seperti serangan jantung dan strok.

Tanpa rawatan, serangan kardiovaskular boleh mengakibatkan masalah serius atau lebih buruk lagi adalah maut.