Malaysia Dateline

‘Ramai lagi dalam majlis dihadiri individu positf Covid-19 dari Sabah’

Speakar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Juhari Bulat mendedahkan ramai lagi hadir dalam satu majlis rasmi kelmarin yang turut dihadiri individu disahkan positif Covid-19.

Beliau yang juga berada dalam majlis itu mula menjalani perintah kuarantin wajib selama 14 hari bermula hari ini selepas menjadi kontak rapat individu berkenaan.

Menurutnya, beliau baharu sahaja menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Kuah pagi tadi.

“Saya difahamkan ada individu yang hadir ke majlis itu baharu dari Sabah dan positif Covid-19, jadi saya diminta menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari selepas saringan pagi tadi, keputusan saringan saya tak pasti bila dapat.

“Ramai lagi yang berada di dalam majlis itu juga diarahkan menjalani ujian saringan hari ini, saya bukan disahkan positif lagi, saya hanya menjalani kuarantin 14 hari dan masih menunggu keputusan,” lapor BH.

Seorang pegawai khas kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari Sabah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, pegawai tersebut sudah dimasukkan ke hospital untuk rawatan, manakala Exco terbabit telah menjalani saringan dan sedang menjalani kuarantin.

“Mengikut prosedur jika kita duduk rapat dan dalam tempoh yang agak lama dengan individu yang positif Covid-19, selepas ujian saringan kita perlu jalani kuarantin selama 14 hari.

“Tetapi jika berada jauh dan tempoh sekejap bersama majlis dengan individu positif Covid-19, kita hanya perlu menjalani kuarantin beberapa hari sahaja selepas saringan dilakukan,” jelasnya lagi.

Semalam, terdapat satu kes baharu bagi Kluster Sungai di Kedah menjadikan jumlah kes positif kluster itu sebanyak 99 kes.

Seramai 25,399 individu telah disaring dalam kluster tersebut setakat semalam dengan di Kedah sahaja melibatkan 25,179 orang.

Daripada jumlah individu disaring itu, 25,059 individu negatif manakala 22 individu lagi menunggu keputusan.