Ramai lagi dalam Umno layak jadi Perdana Menteri, kata Sanusi

Ramai lagi dalam Umno layak jadi Perdana Menteri, kata Sanusi

Tan Sri Sanusi Junid akhirnya bersuara setelah Deklarasi Rakyat yang ditandatangani beliau bersama 56 lagi individu pada 4 Mac lalu ditentang habis-habisan di kalangan Ahli Majlis Tertinggi dan sebahagian Ketua Bahagian Umno serta NGO pro kerajaan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tan Sri Sanusi JunidTan Sri Sanusi Junid akhirnya bersuara setelah Deklarasi Rakyat yang ditandatangani beliau bersama 56 lagi individu pada 4 Mac lalu ditentang habis-habisan di kalangan Ahli Majlis Tertinggi dan sebahagian Ketua Bahagian Umno serta NGO pro kerajaan.

Beliau berkata, Deklarasi Rakyat bukan bertujuan menjatuhkan kerajaan walaupun ramai berpandangan  Tun Mahathir berkerjasama dengan DAP dan parti pembangkang lainnya.

“Kerajaan itu bukan Perdana Menteri seorang. Kerajaan itu adalah Parti yang memerintah.

“Deklarasi Rakyat hanya minta PM turun, kerajaan tak runtuh. Kita dah banyak kali saksikan PM turun sebelum ini.

“Ramai lagi dalam Umno yang layak jadi PM.” ujarnya sebagaimana dipetik transkrip perbualan  dalam satu pertemuan santai dengan pemilik blog ‘Dinturtle’di pejabat beliau semalam.

Sanusi menegaskan, sebagai seorang Perdana Menteri Mohd Najib Razak perlu menjelaskan sendiri persoalan integritinya.

“Kalau ada pertanyaan daripada orang, kita tak boleh upah orang suruh jawab. Kita kena jawab sendirilah.

“Janganlah orang-orang di atas ni duk menipu orang-orang kampung dengan menakut-nakutkan orang kampung supaya takut kat orang cina.

“Hebat sangatkah Lim Kit Siang tu? Saya tak pernah nampak Lim Kit Siang tu hebat. Saya pun heran macamana satu parti Melayu takut kat seorang manusia cina,” ujar bekas menteri Pembangunan Negara dan  Luar Bandar ini.

TanSri Sanusi Junid (dua dari kanan) selepas menandatangani Deklarasi Rakyat paada 4 Mac lalu.Menurut Sanusi lagi, Kit Siang yang telah lama dalam kabinet pembangkang tidak pernah berpeluang untuk duduk dalam kerajaan sebalik apa yang perlu dirisaukan adalah Jho Low.

“Dia (Kit Siang) tak pernah bagi susah kita. Tak pernah dia suruh cadang supaya kenakan GST. Tak pernah dia cadangkan dalam parlimen supaya berhutang tak payah bayar. Tak pernah dia suruh dalam parlimen buat yang bukan-bukan.

“Tapi cina yang patut kita meluat ni, cina macam Jho Low tu dan penyangak-penyangak, kawan-kawab dia yang lain itu, kita patut benci tapi yang itu pulak jadi macam orang baik. Kalau Jho Low kena datang ke PAC, hak dia bercakap tu kena rahsia. Tak boleh beritahu kat orang, takut nampak buruk dia pula.”luah Sanusi

Malah Sanusi juga menerangkan tujuan Deklarasi Rakyat itu bukanlah untuk mengalahkan Umno-BN dan bersekongkol dengan DAP dan  parti pembangkang lainnya.

“Perkara PM turun ni, kalau dia nak turun, turun dalam pilihanraya.Maknanya kena kalah Barisan Nasional, barulah PM ni nak turun. Kita tak mahu macam itu. Kita tak mahu BN kalah.

“Kita rasa Umno-BN akan kalah kalau PM tak turun. Itu sebab kita minta dia turun kerana kita sayang kepada Umno. Nak pecat, pecatlah hati kita tetap ada dalam Umno.

“Bukan duduk dalam Umno tapi mengkhianati Umno. Yang itu adakah kita nak kata bahawa kita ‘Sayang’ pada Umno ?

“Sayang pada Umno adalah membuat supaya Umno ini dihormati oleh orang. Negara ini dihormati oleh orang. Itu makna Sayang pada Umno.

“Sayang pada Umno ni bukan bermakna semua pemimpin yang dah berjasa kita maki hamun pasal menegur kesalahan kita.

“Yang baik hanya yang memuji kita? Kemudian kalau yang nak puji kita tu pulak, kena diupah. Sedangkan orang lain tak payah upah pun dia boleh puji orang kalau dia nampak jasa.

“Kalau orang itu bercakap, kita kena selidiklah sedikit sebanyak latar belakang. Kadang-kadang yang bercakap tu kerana gaji dia, kerana jawatan dia, kadang-kadang kerana dapat untung daripada bercakap macam tu. Sedangkan yang penting sekali bagi kita ialah – Umno, negara dan orang Melayu ni selamat.

“Kalau kita kena bekerjasama dengan siapapun lah, untuk jaga supaya negara ini jangan jadi rosak maka kita bekerjasamalah,” ujarnya yang pernah keluar Umno pada 2008.

TAGS