Malaysia Dateline

Ramai lelaki nangis bucu katil tengok gambar kahwin Syefura

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari Young Syefura Othman selamat diijabkabulkan dengan lelaki pilihan hati, Edrin hari ini.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan antara wakil rakyat yang muda dan cukup diminati ramai terutama golongan anak muda.

Akhir tahun lalu beliau pernah memberitahu dirinya sedang mengenali seorang jejaka dan dijangka akan mengadakan majlis perkahwinan tahun ini.

“Alhamdulillah semuanya sempurna. Terima kasih kepada yang mendoakan kami berdua,” tulis Syefura yang lebih mesra dipanggil Rara di Facebook dengan berkongsi beberapa keping gambar persandingannya.

Perkongsian gambar-gambar perkahwinan Syefura dan suami mendapat lebih 1,500 komen daripada pengikutnya.

Ramai dalam kalangan pengikutnya mengucapkan tahniah bahkan tidak kurang juga rata-rata kaum lelaki menzahirkan rasa ‘frust’ pada hari bersejarah buat Adun mereka itu.

“Tahniah, sama cantik moga bahagia ke akhir hayat,” tulis Aqu Jemmy Ceedin.

“Alhamdulillah. Tahniah YB dan suami semoga bahagia hingga jannah. Amin,” kata Kamsinar Azminar.

“Baru nak tukar mengundi kt Bentong. Cancel laa biar di Temerloh janji hati tak tersakiti,” seloroh Yus Rie Loneranger sambil meletakkan emoji menangis.

“Kejam sungguh putaran hidup ini. Tahniah YB kerana cedera parahkan anganku selama ini. Selepas ini balik Bentong tak mahu lalu Ketari lagi. Ngilu sangat,” usik Mekael Mael.

“Saya pun berjambang kalau tahu saya cuba nasib. Tahniah, selamat pengantin baru,” kata Wan Sixzerosix.

“Tahniah YB walaupun ramai yang nangis bucu katil,” gurau Baha Munir.

Malah, ada yang mengingatkan Adun berkenaan agar tidak ‘melangkawi’ SOP yang difahamkan merujuk kepada kes pelanggaran perintah operasi standard (SOP) oleh beberapa Instafamous dan artis baru-baru ini.

Young Syefura pernah berkahwin dengan Muhammad Masyhur Abdullah kemudiannya bercerai talak satu pada 7 Mac 2019 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.