Ramai mahu tonton filem Polis Evo 2, Pas dianggap buat promosi percuma

Ramai mahu tonton filem Polis Evo 2, Pas dianggap buat promosi percuma
Imej pelakon Hasnul Rahmat sebagai ketua pengganas yang berserban dalam Polis Evo 2 didakwa memberi persepsi buruk kepada Islam.

Rata-rata warga maya menganggap pemimpin Pas melakukan promosi percuma untuk filem Polis Evo 2 (PE2) yang  hanya akan ditayangkan di pawagam mulai 22 November ini.

Ekoran gesaan Ahli Jawatankuasa Pusat Pas Dr Riduan Md Nor semalam yang mengajak rakyat Malaysia memulaukan filem lakonan Zizan Razak dan Shaheizy Sam itu, ramai pengguna media sosial sebaliknya menyatakan tidak sabar untuk menonton PE2.

Antaranya, pengguna Facebook Usman Affan yang mengakui tidak pernah menonton filem tempatan di pawagam sebelum ini.

Beliau berpendapat tindakannya untuk menonton filem terbitan Astro Shaw, Surya Citra Media (SCM) dan produksi oleh BlackFlag itu nanti sebagai satu pengajaran kepada pemimpin Pas supaya lebih berhati-hati.

“Mungkin filem ini satu teladan buat tok lebai (pemimpin Pas) untuk berakhlak lebih Islamik. Tidak takfiri dan khawarij, tidak cepat menghukum dan menghina orang,” bidasnya.

Sementara itu, Steven Chew pula percaya syarikat produksi filem PE2 pastinya berterima kasih kepada pemimpin Pas.

“Sebenarnya saya tidak tahu adanya filem ini. Tiba-tiba ada lebai (pemimpin Pas) bagi iklan percuma yang amat berkesan sehingga ramai ingin menonton filem ini.

“Esok hari parti lebai ini boleh tubuh syarikat berkhidmat sesiapa yang ingin buat promosi produk mereka, amat berkesan,” sindirnya.

Pengguna Facebook, Alias Azman juga menyatakan keinginannya untuk menyaksikan tayangan sekuel PE2 yang turut menampilkan pelakon Hasnul Rahmat sebagai ketua pengganas berserban di pulau terpencil di pantai timur.

“Rasa nak pergi tonton saja Evo 2! Baru-baru ini filem Munafiq 2 ada watak antagonis Abuja.

“Daesh, Taleban, Boko Haram, Wahhabi An Najdi, Abu Sayyaf semua itu memang memberi imej yang buruk buat umat Islam sama ada kita suka atau tidak. Mengapa kita perasan bagus sangat sampai tak boleh kena tegur?” soalnya.

Tidak kurang juga warga maya yang menyindir ajakan memboikot filem PE2 agak melucukan memandangkan bukan semua negeri ada pawagam.

“Nak boikot filem Polis Evo 2 tapi Kelantan tiada pawagam,” perli Hariz Zhafrie.

Bagi Intan Sulaiman pula menulis, “Lagi orang nak tengok akibat promosi dari Pas” tetapi Hamizon Abedul pula berkata, “Dah jelas pun anti Islam.”

Semalam, Riduan mendakwa PE2 cuba memberi imej buruk kepada Islam dan tindakan boikot boleh memberi pengajaran kepada pihak yang terlibat dalam pembikinan filem itu.

Filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew itu turut menyaksikan aksi pelakon Raline Shah, Riz Amin, Hairul Azreen, Soffi Jikan, Syafie Naswip, Fir Rahman, Dennis Yin dan Tanta Ginting.

COMMENTS