Malaysia Dateline

Ramai pekerja Malaysia dibuang di Singapura

Ramai rakyat Malaysia difahamkan sudah diberhentikan kerja di Singapura sejak bulan lalu menyebabkan mereka hilang punca pendapatan.

Pembantu produksi kilang elektronik di Singapura yang mahu dikenali sebagai Middy Mohammad, 30, berkata, dia dimaklumkan rakannya bahawa ramai yang sudah diberhentikan kerja menyebabkan dia turut risau berhadapan nasib sama.

“Saya tidak ada jumlah bilangan yang tepat tetapi rakan memaklumkan jumlah rakyat Malaysia yang sudah diberhentikan sejak bulan lalu agak ramai sehingga mereka tersadai di republik berkenaan berikutan mahu mencari kerja lain,” dipetik dari Berita Harian.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu ramai yang terjejas menarik nafas lega apabila kerajaan Malaysia mengumumkan pekerja Malaysia di Singapura tidak perlu lagi membayar separuh dari kos di pusat kuarantin di Johor Bahru sebaliknya menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

Beliau yang bercuti tanpa gaji selama sebulan dan berada di rumah keluarga di Johor Bahru berkata, pasaran kerja di Singapura terjejas sehingga kilang elektronik tempatnya bekerja juga mengambil bekas pramugari dan pramugara republik itu bagi menggantikan rakyat Malaysia yang diberhentikan.

Dalam hal berkaitan, pakar ekonomi DM-Analytic Sdn Bhd, Zouhair Rosli, berkata, tiga daripada lima individu yang hilang pekerjaan dalam tempoh beberapa bulan lalu berusia di bawah 40 tahun.

Menurutnya, kebanyakan mereka berkerja di sektor tidak formal yang tidak menawarkan sebarang jaringan keselamatan sosial dengan hampir 50 peratus kumpulan tersebut hilang perkerjaan semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebanyak 2.5 juta rakyat Malaysia bekerja di sektor tidak formal. Bilangan belia berusia antara 20 hingga 30 tahun yang bekerja di sektor ini meningkat dua kali ganda daripada enam peratus pada 2016 kepada 12 peratus pada 2019, walaupun pekerjaan itu tidak menawarkan pendapatan tetap.

“Mereka yang berjaya mengekalkan pekerjaan pula kekurangan 90 peratus pendapatan.

“Golongan ini mengakui mereka tidak mempunyai simpanan yang cukup walaupun untuk bertahan bagi tempoh sebulan,” katanya lagi dalam sesi Webinar Belia mengenai COVID-19: Cabaran dan Survival Golongan Belia, yang dianjurkan sayap belia Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).