Malaysia Dateline

Ramai pengundi pos sukar lakukan pendaftaran, MP gesa SPR panjangkan tarikh akhir daftar undi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia diminta untuk mendedahkan jumlah pengundi yang telah berdaftar sebagai pengundi pos untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat hari ini ekoran dakwaan ramai rakyat Malaysia sukar mendaftarkan diri sebagai pengundi pos di laman sesawang SPR.

Ahli Parlimen DAP, Teo Nie Ching berkata, usaha SPR yang dilihat agak hambar dan kurang bersungguh-sungguh dalam memastikan semua pengundi Johor dapat mengundi, amat mengecewakan.

Ini kerana katanya, SPR hanya memberi tempoh yang singkat kepada pengundi pos sehingga Jumaat ini iaitu 18 Februari sedangkan ramai yang masih berdaftar.

“Tarikh tamat yang begitu pendek sebegini membawa kebarangkalian di mana pengundi mungkin tidak tahu yang mereka perlu mendaftar sebagai pengundi pos.

“Jadi, saya gesa pihak SPR untuk beritahu berapa pengundi pos telah berjaya didaftarkan untuk bukti bahawa proses ini diketahui umum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramai pengundi pos sukar lakukan pendaftaran, MP gesa SPR panjangkan tarikh akhir daftar undi

Teo berkata, jika ternyata tidak ramai yang berjaya didaftarkan sebagai pengundi pos, maka pihak SPR digesa untuk memanjangkan tarikh akhir tersebut.

Beliau mendakwa, banyak aduan diterimanya di mana pengundi mengalami pelbagai masalah teknikal untuk berdaftar sebagai pengundi pos di laman web SPR.

“Antaranya seperti tidak dapat memuat naik gambar kad pengenalan, tidak dapat memilih hari jadi dan sampai ada yang mengambil masa 2 atau 3 hari untuk mencipta akaun dalam laman web tersebut.

“Semua kesukaran teknikal ini menghindarkan pengundi dari melengkapkan pendaftaran akaun mereka dan pihak SPR harus bertanggungjawab atas masalah ini.

“Oleh demikian, adalah wajar untuk pihak SPR memanjangkan dan mewar-warkan lagi tarikh akhir pendaftaran pengundian pos,” tambahnya lagi.

Selain itu, Teo menggesa SPR menyediakan beberapa pusat mengundi di luar negara terutamanya di Singapura, jika benar pihak SPR ingin menegakkan proses pengundian yang adil untuk semua, terutamanya pengundi Johor yang bermastautin di Singapura dan tidak mampu balik ke Johor