Penampilan baharu isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Tun Dr Hasmah yang kerap tampil bertudung kebelakangan ini sering menjadi topik perbincangan di media sosial.
Antara perkara yang dibincangkan adalah sudah tentulah harapan orang ramai agar perubahan penampilan pemilik nama sebenar Tun Dr Hasmah Mohamad Ali itu bersifat kekal dan berhijrah ke arah lebih baik.
Terbaharu, tular pula rakaman memaparkan Dr Hasmah yang menggayakan persalinan berwarna merah jambu bersama tudung bawal berona serupa ketika menghadiri satu acara di Alor Setar, Kedah.
Video berdurasi lima saat itu dikatakan dirakam ketika Dr Hasmah menghadiri satu majlis berbuka puasa di Masjid Mohamad Iskandar Wan Tempawan, Jalan Dato Kumbar, Alor Setar bersama suaminya.
Menerusi satu hantaran di platform TikTok, individu yang berkongsi rakaman tersebut di akaun miliknya mengakui bahawa pemakaian tudung bawal membuatkan wajah Tun Hasmah kelihatan lebih muda.
Individu berkenaan secara berseloroh bertanya siapakah yang bertanggungjawab mengajar wanita berumur 99 tahun itu memakai tudung bawal yang jarang digayakan oleh warga emas lain seusianya.
“Sekarang ini aku nak tahu, siapa yang mengajar Tun Dr Hasmah pakai tudung bawal macam ini? Mana ada orang seusianya nak pakai tudung bawal. Kan sudah nampak lebih muda dari awak semua,” katanya dalam perkongsian itu.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih lebih daripada setengah juta tontonan yang mana rata-rata pengguna mengakui pemakaian tudung bawal membuatkan Tun Hasmah kelihatan lebih muda.
Beberapa pengguna turut meninggalkan komen untuk memberitahu individu yang bertanggungjawab memakaikan tudung Tun Hasmah dipercayai merupakan penjaganya.
“Tun Hasmah ada orang yang siapkan. Macam penjaganya. Layan makan dan pakainya. Semoga awak yang menjaga Tun Hasmah jalankan tugas dengan baik dan ikhlas kerana Allah.” Kongsi seorang pengguna.
“Masya-Allah, TabarakaAllah. Betul juga kan, memang tak nampak Tun macam sudah berusia mencecah 100 tahun apabila pakai tudung sebegini,” kata seorang pengguna lain mengutarakan pendapatnya.
Baca juga: Bayaran Cristiano Ronaldo untuk satu ‘sponsored post’ di Instagram cecah RM15 juta