Malaysia Dateline

Ramai rakyat hilang kerja, masa terbaik kurangkan pekerja asing

Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar menegaskan impak pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP ini merupakan tempoh terbaik mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia tidak harus memutihkan pendatang tanpa izin untuk diserap sebagai tenaga kerja ketika ramai rakyat tempatan hilang pekerjaan.

“Sepatutnya inilah masa terbaik mengurangkan pekerja asing dengan menghantar pulang mereka bukannya mengambil mereka sebagai pekerja.

“Apa yang dilakukan Kementerian Dalam Negeri dan Sumber Manusia sekarang ini ialah beri peluang kepada pendatang tanpa izin sama ada sukarela balik ke negara asal atau sukarela bekerja di sini.

“Padahal, rakyat ramai yang sedang mencari kerja. Jadi, tidak wajar diambil pendatang yang datang ke negara ini secara haram tiba-tiba kita hendak mengesahkan mereka sebagai pekerja asing,” katanya.

Sehubungan itu, Mahfuz menggesa kerajaan mengkaji semula penetapan syarat hanya 15 peratus penggajian pekerja asing daripada jumlah guna tenaga negara bagi tujuan mengutamakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Itu angka lama. Patut dikurangkan secara berperingkat mungkin kepada 10 peratus,” kata Naib Presiden AMANAH itu menerusi Facebook Live di The Perspektif malam tadi.

Untuk rekod, dasar kerajaan memberikan kebenaran untuk menggajikan pekerja asing di sektor dan sub-sektor tertentu, yang dianggap kurang diminati oleh rakyat tempatan seperti dalam sektor pembinaan, perkilangan, pertanian, perladangan, perkhidmatan dan perlombongan serta pengkuarian.

Sangat gawat

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menegaskan masalah pemberhentian pekerja sangat gawat pada masa ini akibat penutupan banyak syarikat ekoran pandemik Covid-19 dan PKP.

“Sebelum ini Jabatan Perangkaan telah memberikan angka 60,000 syarikat yang telah ditutup. Kalau sebuah syarikat ada 20 orang pekerja bermakna 1.2 juta orang (pekerja diberhentikan).

“Dalam program I-Sinar 1 dan 2, Tengku Zafrul (Menteri Kewangan) kata 4.8 juta ahli KWSP mohon untuk keluarkan simpanan mereka.

“Daripada jumlah itu, 3.18 juta telah diluluskan yang membabitkan pengeluaran RM25.3 bilion. Maknanya, seramai 3.18 juta orang yang merupakan ahli KWSP hilang pekerjaan dan sumber pendapatan atau mengalami pengurangan pendapatan, diberi cuti tanpa gaji dan sebagainya.

“Mereka terkesan dengan Covid-19, belum termasuk angka-angka baru yang akan muncul selepas PKP 2.0,” katanya.

Oleh sebab itu, Mahfuz menggesa kerajaan segera menangani kesan buruk ini dengan memberikan lebih RM600 kepada semua pekerja yang berpendapatan kurang RM4,000 seperti yang ditegaskan 25 ahli Parlimen PH Plus sebelum ini.

“Tetapi saya secara peribadi berpendapat, kerajaan patut beri RM1,200 seperti semasa PKP 1.0 kepada semua pekerja untuk semua sektor.

“Sebelum Covid-19, semasa saya masih Timbalan Menteri Sumber Manusia, penempatan pekerjaan yang boleh diberikan kepada pencari kerja antara 80,000 hingga 120,000 orang.

“Mereka diberi pekerjaan melalui pelbagai saluran dan inisiatif. Kadar pemberhentian kerja masih kecil ketika itu antaranya melibatkan pekerja di Utusan Melayu, TV3 dan GLC di Kelantan,” katanya lagi.