Malaysia Dateline

Ramai rakyat Sarawak tidak mengetahui maklumat bantuan Fama

Banyak maklumat berkenaan pakej dan bantuan serta kemudahan yang ditawarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Lembaga Pemasaran Persekutuan (Fama) tidak diketahui oleh rakyat Sarawak.

Pengerusi Kluster Komunikasi dan Penerangan AMANAH Sarawak, Hud Andri Zulkarnaen berkata, rakyat di negeri ini khususnya golongan petani kurang mengetahui tentang cara-cara memohon dan mendapatkan bantuan atau kemudahan yang ditawarkan oleh pihak Fama kepada mereka.

Justeru, katanya, AMANAH Sarawak akan bersedia membantu seluruh warga tani di negeri ini dalam menyampaikan maklumat pakej bantuan dan kemudahan yang ditawarkan oleh Fama dalam masa terdekat ini.

“Sebenarnya banyak maklumat berkenaan pakej dan kemudahan yang disediakan serta ditawarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ini melalui Fama bagi membantu warga tani masih belum sampai ke pengetahuan masyarakat di Sarawak.

“Oleh demikian, saya berharap AMANAH Sarawak akan dapat membantu menyalurkan maklumat tersebut ke pengetahuan seluruh warga tani di negeri ini nanti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan Pengarah FAMA Negeri Sarawak, Datuk Dr. Mat Sani Hasan di Pejabat FAMA di Kuching pada Rabu.

Turut bersama dalam perjumpaan itu ialah wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)Sarawak, Datuk Michael Lias dan wakil DAP Sarawak, Joshua Wong.

Mengenai perjumpaan itu, Hud Andri yang juga merupakan Timbalan Pengerusi AMANAH Sarawak menambah, ia adalah lawatan yang pertama kali diadakan parti-parti dalam komponen Pakatan Harapan(PH)bersama pihak FAMA Sarawak.

“Lawatan ini adalah bertujuan ingin mengetahui secara menyeluruh fungsi Fama Sarawak dan perkembangan terbaru perihal pakej tawaran bagi membantu warga tani di negeri ini.

“Kami telah diberi taklimat khusus oleh Pengarah FAMA sendiri dan merasakan lawatan ini sangat berjaya serta banyak maklumat yang perolehi yang boleh kami kongsi dengan rakyat di kawasan nanti,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan terimakasih kepada Pengarah Fama Negeri Sarawak, Datuk Dr Haji Mat Sani serta warga pengurusan Fama Sarawak kerana dapat meluangkan masa untuk sesi perjumpaan tersebut.