Malaysia Dateline

Ramai sokong Fahmi kempen jual imej ‘badut penghasut’

 

Fahmi bersama imej badut menyerupai Najib. Sumber FB Fahmi Reza

Ramai pengguna Facebook menyatakan sokongan secara terbuka kepada pereka grafik, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 40, yang bercadang untuk menjual dan terus menyebarkan imej badut menyerupai wajah perdana menteri.

Hasratnya itu bagi mengumpul wang membayar hukuman denda berjumlah RM30,000 selepas dijatuhi hukuman bersalah kerana membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat palsu di Facebook dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 8 Februari 2016.

“Kata orang tua-tua, berani buat berani tanggung. Walaupun aku yang design muka badut ni, tapi kita semua sama-sama sebarkan dan viralkan imej protes yang mengkritik korupsi penguasa ini di merata tempat, online dan offline. Kita semua, penghasut.

“Kalau aku buat kempen crowdfunding jual t-shirt badut penghasut (design baru), metal pin muka badut, stickers muka badut dan stuff muka badut lain untuk collect duit untuk bayar denda ni, siapa kat sini yang akan support?

“Mereka nak hukum kita sebab sebarkan imej ni. Apa kata kita sebarkan lagi? #KitaSemuaPenghasut,” katanya di Facebook malam tadi.

Catatan Fahmi di media sosial itu kemudiannya menerima sebanyak 3,300 reaksi berserta hampir 800 komentar dan lebih 500 perkongsian hanya dalam tempoh sembilan jam dimuatnaik.

Rata-rata netizen menyokong hasratnya itu bahkan memuat naik gambar memakai kemeja-T badut tersebut selain meninggalkan #KitaSemuaPenghasut sebagai solidariti kepada Fahmi yang dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam status sama, Fahmi turut memberitahu tidak bersetuju dan akan melawan keputusan hakim serta hukuman penjara sebulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh semalam.

“Aku dah failkan permohonan untuk cabar keputusan ini di Mahkamah Tinggi Ipoh.

“Lepas 4 jam duduk dalam lokap, aku dah dibebaskan dari lokap Mahkamah Ipoh dengan ikat jamin RM10,000.

“Hukuman penjara aku ditangguhkan sementara menunggu rayuan, tapi hukuman denda RM30,000 aku masih dipaksa untuk bayar. Kalau aku tak bayar, aku akan dihukum penjara 6 bulan,” dipetik daripada Facebook Fahmi.

Terdahulu, Hakim Norashima Khalid dalam keputusannya semalam mengatakan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes tersebut.

Bagaimanapun, beliau membenarkan hukuman itu ditangguhkan pelaksanaannya sementara menunggu rayuan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi.

Norashima juga menaikkan jumlah ikat jamin terhadap Fahmi daripada RM5,000 sebelum ini kepada RM10,000.

Mengikut pertuduhan, Fahmi didakwa memulakan penghantaran komunikasi palsu karikatur badut menyerupai pemimpin negara pada 8 Februari 2016, jam 12.31 tengah hari menggunakan perkhidmatan Facebook secara sedar dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria dan Nazrul Nizam Zameri yang mengemukakan tujuh saksi pendakwaan.

Fahmi pula diwakili Syahredzan Johan yang memilih untuk memberi keterangan bersumpah dalam kandang saksi.

Pihak pembelaan dalam rayuan memohon mahkamah hanya mengenakan hukuman denda maksimum RM10,000 berdasarkan faktor mitigasi iaitu antaranya kesalahan dilakukan adalah kesalahan pertama yang tidak serius dan tiada mudarat berpanjangan kepada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, Sophian dalam hujahnya membantah cadangan hukuman pihak pembelaan itu dan berpendapat mahkamah tidak boleh bersimpati dengan tertuduh kerana sebelum melakukan kesalahan itu, Fahmi sedar akan kesan perbuatan yang dilakukan.

Imej badut penghasut rekaan Fahmi Reza yang menyebabkannya dihukum denda RM30,000 dan penjara sebulan.