Malaysia Dateline

Ramai suri rumah sedang ‘bunuh’ suami masing-masing?

Dalam sebuah drama Korea, ada satu kisah seorang isteri yang sudah bosan dengan suami yang dah tua. Dia nak suami dia mati cepat tetapi suaminya panjang umur pula.

Satu hari dia menonton rancangan kesihatan di TV tentang bahaya prediabetes dan glucose intolerance. Doktor dalam program itu berkata; jika paras gula dalam darah dibiarkan mencecah 10mmol/l buat masa yang lama, salur darah akan mula rosak.

Kita boleh dapat serangan jantung walaupun tiada penyakit koronari jantung. Hanya disebabkan salur darah rosak saja.

Lalu, dia mendapat idea dan menyusun rancangan. Setiap pagi dia sediakan sarapan yang tinggi karbohidrat. Dia hidangkan bubur kacang dengan bebola beras pulut.

Dia hidangkan mi sup. Untuk makan tengahari dia buat kari atau gulai yang tinggi minyak dan garam. Semuanya homemade. Bukan makanan beli atau berproses pun.

Si isteri yang awet muda itu makan sikit. Dia tidak usik pun hidangan yang dia masak untuk suami. Si suami menyangka isteri sayang dia sebab sediakan makanan sedap setiap hari. Asyik ajak makan saja. Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu.

Dan betul selepas setahun; suaminya mendapat serangan jantung dan meninggal dunia. Rancangan beliau berjaya.

Membesar

Jadi saya pun terfikir; bukankah makanan ruji masyarakat kita pun tidak jauh beza daripada hidangan si isteri dalam cerita tu.

Sarapan kita mi goreng, cekodok, lempeng. Tengahari nasi, malam nasi. Sayur selalunya sikit saja, nasinya membukit. Untuk anak yang sedang membesar tak mengapalah. Kita yang dewasa ni nak membesar banyak mana lagi?

Sebenarnya prediabetes adalah perkara yang benar. Iaitu paras gula tinggi sikit dari normal tapi belum jadi diabetes lagi. Kira borderline tinggi namun tak perlu rawatan; hanya jaga makan dan senaman.

Hampir satu pertiga daripada rakyat kita ada masalah ini. Dan hampir 80 peratus mereka yang ada prediabetes tidak tahu pun mereka ada prediabetes. Mereka yang berisiko adalah yang berumur lebih 45 tahun, ada sejarah keluarga dengan diabetes dan berperut buncit.

Rupa-rupanya ramai suri rumah kita sebenarnya sedang membunuh suami masing-masing secara tak sedar, dengan menyediakan makanan yang tak seimbang. Makanan yang sentiasa meningkatkan paras gula dalam darah.

Saya sendiri sudah ubah pola pemakanan. Saya cuba ambil sayuran sekurang-kurangnya tujuh hingga 10 cawan sehari. Protein terhad, karbohidrat pun kurang. Suami saya pun makan lebih kurang macam saya. Anak-anak yang sedang membesar pun dibiasakan makan banyak sayur.

Ini sarapan saya yang biasa. (gambar atas) Seminggu sekali jika teringin, barulah saya bersarapan nasi lemak atau hidangan melayu yang lazat. Jangan sangka makanan begini tidak sedap. Sedap tau. Serius.