Ramai tahu cakap tidak sanggup buat, tegas aktivis pendidikan

Ramai tahu cakap tidak sanggup buat, tegas aktivis pendidikan

Banyak pihak hanya tahu mengkritik keberkesanan sistem pendidikan di negara ini tetapi tiada usaha untuk cuba menanganinya.

Pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN), Zul Fikri Amir berkata demikian dalam forum ‘Pendidikan Malaysia: Salah Siapa?’ di Rumah Budaya, Petaling Jaya malam tadi.

“Ramai yang bercakap tetapi tidak ada yang sanggup buat padahal yang ada kekuatan (untuk menyelesaikan masalah pendidikan) sebenarnya masyarakat itu sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata, pengalaman TFTN sebelum ini lebih banyak menumpukan pada kumpulan murid yang berada di ‘kelas hujung’.

“Isunya bukan kau. Isunya orang lain. Turun, lihat realiti dan masalah yang berlaku – orang miskin, B40 (golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah), anak yatim, kelas hujung,” ujarnya menyelar tanggapan pihak tertentu yang tidak menganggap sistem pendidikan di negara ini bermasalah.

Penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ itu berpendapat masalah berkaitan keciciran murid di sekolah akan berlanjutan jika tiada usaha untuk menanganinya.

“Kita akan kekal bercakap kalau tanpa bertindak. Penyelesaiannya adakah kita ada keinginan untuk menyelesaikan, turun ke bawah kotorkan tangan kita, selesaikan masalah dengan keupayaan yang kita ada?” soalnya.

Mengulas lanjut realiti di sekolah pada masa ini, Zul yang juga bekas guru berkata, masalah guru besar tiada kebebasan untuk berinovasi dan guru hilang motivasi untuk mengajar berlanjutan sudah berpuluh tahun.

“Mereka (guru besar dan guru) boleh mesyuarat empat jam tanpa henti, tapi tiada apa dapat diselesaikan. Sepatutnya pusat pembelajaran itu di bilik darjah bukan di Putrajaya.

“Kenapa cikgu yang kerja hakikinya mengajar tapi tak dapat melaksanakannya? Sebab dasar tunggang-langgang. Bukan tidak ada jawatankuasa yang mengkaji beban guru, ada sejak tahun 80-an lagi tapi kita ada masalah sistemik dan amalan,” tegasnya.

Oleh sebab itu, ujar Zul, langkah mereformasikan Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara perlu dilakukan dengan kesan positifnya bukan dapat dilihat dalam tempoh singkat.

“IPG sangat bermasalah. Ada kekangan budaya dan mentaliti pensyarah-pensyarah di IPG. Buat reformasi terhadap 27 IPG ini.

“Guru yang berada di bilik darjah kena berubah. Kesan hanya boleh dilihat lima hingga 10 tahun akan datang. Selagi kita tak ubah mentaliti guru yang mengajar di kelas, selagi itu kita akan terus bercakap tentang masalah di sekolah,” tambahnya lagi dalam forum anjuran Bring Your Own Thoughts (BYOT Society) itu.

TAGS