Ramai tak tahu 5 makanan ini bahaya jika dipanaskan dalam microwave

Oleh KIM SYAZIE

Ramai tak tahu sebenarnya ketuhar gelombang mikro atau microwave tidak boleh memanaskan semua jenis makanan yang anda mahu.

Biarpun microwave dicipta serba boleh untuk memudahkan anda menyediakan makanan, tetapi anda perlu tahu jenis makanan yang akan dipanaskan supaya tidak merosakkan microwave anda. Apakah jenis makanan itu? Jom kita semak seperti yang dilaporkan portal Gempak.

Cili
Cili mengandungi sebatian dipanggil capsaicin yang menjadi sumber rasa pedas. Apabila dipanaskan, capsaicin dalam cili akan tersejat, merebak dan terperangkap dalam ketuhar gelombang mikro yang bertutup. Jika pintu gelombang mikro dibuka, asap yang mengandungi capsaicin boleh merengsakan paru-paru, tekak, mata dan hidung.

Telur Rebus
Apabila dipanaskan dalam microwave dan terus dipotong, telur rebus boleh meledak dan menyebabkan ruangan dapur menjadi kotor. Hal ini disebabkan keberadaan wap dalam telur rebus yang tidak boleh dilepaskan menerusi putih telur sehingga menjadi satu bentuk tekanan.

Air
Nak panaskan air? Baik gunakan cerek atau pemanas air biasa. Memanaskan air menggunakan microwave menyebabkan air benar-benar menjadi panas dan jika tidak diuruskan dengan betul, air boleh tertumpah dan menyebabkan tangan kita melecur.

Kentang Lebihan
Kentang sering menjadi rumah bagi bakteria botulisme, atau Clostridium botulinum. Bakteria ini akan berkembang biak jika kentang telah dimasak tetapi tidak disimpan di peti sejuk dalam kadar segera.
Memanaskan kentang lebihan dalam microwave tidak akan membunuh bakteria ini dan boleh membahayakan kesihatan.

Sos Tomato
Memanaskan sos tomato dalam microwave biasanya akan menyebabkan banyak percikan. Hal ini kerana, wap yang ada dalam sos tidak dapat dikeluarkan menerusi keadaan sos yang pekat. Tidak sampai beberapa minit, sos boleh meletus dan menyebabkan keadaan dapur menjadi kotor dan kemungkinan menyebabkan kulit pengendali makanan melecur.

Artikel asal di Gempak.