Ramai tak tahu jika bukan kerana Tunku Abdul Rahman, Malaysia mungkin dinamakan Langkasuka

Oleh KIM SYAZIE

Siapa cipta nama Malaysia? Pernahkah pembaca tertanya dari mana datangnya Malaysia dan sekiranya negara ini tidak dinamakan dengan nama Malaysia, nama apa yang bakal kita gunakan?

Menurut Azizul Farhan, seorang penulis di laman The Patriots yang banyak mengupas perihal sejarah dan geopolitik Malaysia, dia mendedahkan bahawa Malaysia kemungkinan dikenali sebagai Langkasuka jika Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman tidak mengambil nama Malaysia.

Menurutnya, nama Malaysia sudah tercipta berabad lamanya seawal tahun 1835, di mana bukan orang Melayu yang mencipta nama itu.

Ia dicipta oleh seorang pelayar Perancis bernama Jules Dumont d’Urville, yang merupakan individu pertama mencipta istilah “Malaysia” pada tahun 1831. 

Kami kongsikan penerangan penuh Azizul Farhan yang dikongsi di platform X miliknya.

“Siapa cipta nama Malaysia?”

Since dah ada yang tanya, boleh la kot kita buka cerita pasal nama Malaysia pula.

Kalau Tunku Abdul Rahman tak pilih nama Malaysia ni dulu, ada kemungkinan negara kita hari ini dikenali sebagai Langkasuka. 

Tapi mana datang nama Malaysia ni? Nama “Malaysia” sebenarnya sudah disebut seawal tahun 1835.

Ia pertama kali muncul dalam sebuah peta yang dilakar oleh Thomas G. Bradford, seorang ahli geografi dari Amerika Syarikat. 

Namun, Malaysia yang dimaksudkan ketika itu bukanlah negara kita hari ini.

Dalam peta tersebut, “Malaysia” merujuk kepada seluruh Kepulauan Melayu, termasuklah Sumatera, Jawa, Borneo, Sulawesi, Maluku, dan Filipina. 

Tanah Melayu? Kadang-kadang dimasukkan, kadang-kadang tidak. Kenapa?

Sebab Tanah Melayu bukan pulau, dan pada waktu itu, istilah “Malaysia” merujuk kepada “Kepulauan Melayu”.

Istilah ini sinonim dengan “Kepulauan India” atau apa yang kita panggil Indonesia hari ini.

Jadi kalau nak diikutkan, Indonesia dan Malaysia sebenarnya berkongsi sejarah nama yang hampir sama.

Jules Dumont d’Urville: Pencetus Istilah “Malaysia”

Tapi, siapa yang mula-mula mencipta istilah ini?

Seorang pelayar Perancis bernama Jules Dumont d’Urville adalah individu pertama yang mencipta istilah “Malaysia” pada tahun 1831. 

Beliau gabungkan dua perkataan Perancis – “Malais” (Melayu) dan “nésie” (pulau), lalu menghasilkan istilah “Malaisnésie”.

Namun, perkataan ini dirasakan terlalu janggal, jadi ia disingkatkan menjadi “Malaisie”, yang kemudian diterjemahkan sebagai “Malaysia” dalam Bahasa Inggeris.

Pada asalnya, istilah ini bukanlah merujuk kepada sebuah negara, tetapi kepada seluruh kawasan yang kita kenali sebagai Kepulauan Melayu. 

Ini adalah kawasan yang dihuni oleh bangsa-bangsa serumpun yang berkongsi bahasa dan budaya yang hampir sama.

Istilah ini terus berkembang dalam peta-peta Barat, mencipta sebuah imaginasi tentang sebuah entiti geografi yang luas.

Pakar etnologi Britain, George Samuel Windsor Earl pulak pernah cadangkan istilah “Melayunesia” dan “Indunesia” dalam jurnal tahun 1850.

Duit Syiling Malaysia di Zaman Jepun?

Lebih menarik, ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu, duit syiling yang digunakan juga tertera nama “Malaysia”. 

Pada tahun 1942, Jepun keluarkan duit syiling 20 sen yang tertulis perkataan “Malaysia” ikut kalendar Jepun (tahun 2602).

Menurut Wong Hon Sum dalam bukunya, syiling ni dikeluarkan oleh Osaka Mint dan Jepun mengiktiraf Melayu sebagai peribumi ketika penjajahan, menamakan Malaya sebagai ‘Ma-rai-ee’. 

Ada juga teori bahawa “Malaysia” merupakan gabungan nama Malaya dan Indonesia.

Walau bagaimanapun, syiling ini hanyalah contoh dan tidak diedarkan. 

Syiling-syiling yang dikeluarkan Jepun pada masa itu diperbuat daripada aluminium kerana tembaga dan gangsa digunakan untuk pembuatan senjata semasa Perang Dunia ke-2.

Ini menunjukkan betapa luasnya penerimaan nama ini, walaupun pada masa itu, Malaysia belum wujud sebagai negara rasmi.

Impian Besar Nasionalis Filipina

Namun, sebelum Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, impian besar tentang sebuah negara bernama “Malaysia” sebenarnya pernah dicanang oleh seorang nasionalis Filipina, Wenceslao Vinzons.

Dalam pidato beliau yang bertajuk “Malaysia Irredenta” pada tahun 1932, Vinzons membayangkan sebuah negara besar bernama Malaysia yang merangkumi seluruh Kepulauan Melayu, dari Semenanjung Tanah Melayu hingga ke New Guinea, Madagascar dan pulau-pulau Polinesia!

Sebenarnya, kawasan ni ahli bahasa panggil kawasan rumpun bahasa “Malayo-Polynesian” atau “Austronesian” (austro = selatan).

Nasionalis Filipina anggap semua orang dalam kawasan ni adalah “Malay Race” sebab kongsi bahasa yang lebih kurang sama.

Konsep “Malay Race” ni ada kaitan, tapi tak sama dengan “ethnic Malay” macam yang kita faham iaitu orang Melayu yang asal Tanah Melayu, Sumatera Timur dan pesisir Borneo yang cakap Bahasa Melayu, ikut adat Melayu dan beragama Islam.

“Melayu Raya”: Wawasan Nasionalis Tanah Melayu

Di Tanah Melayu pula, beberapa nasionalis kiri seperti Ibrahim Yaacob dan Dr. Burhanuddin Helmi turut mempunyai impian besar untuk menyatukan bangsa Melayu di seluruh Nusantara melalui konsep “Melayu Raya”.

Mereka mahukan sebuah negara yang mencakupi semua kepulauan Melayu, tetapi impian ini tidak kesampaian.

Wujudnya Malaysia

Lepas penjajah cabut, negara-negara sini masing-masing ada cita-cita nak buat “superstate” gabungkan semua negara Kepulauan Melayu dengan nama Malaysia.

Salah seorang yang pernah cuba buat benda ni ialah Filipina masa Manuel Quezon jadi presiden.

Tapi Soekarno tak minat nama Malaysia, dia lagi suka panggil “Indian Archipelago” atau singkatannya “Indonesia” dan dia nak bina “Indonesia Raya” yang termasuk Borneo sekali.

Sebaliknya, pada 1963, Tunku Abdul Rahman menggunakan nama “Malaysia” untuk menyatukan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura dalam sebuah persekutuan baru.

Jadi, bila Tunku masukkan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia, Soekarno rasa macam kena potong line, terus dia isytiharkan “Ganyang Malaysia”.

Dalam masa yang sama, Filipina yang pernah bermimpi untuk memiliki nama Malaysia pun naik angin.

Malah, Presiden Filipina ketika itu, Diosdado Macapagal merasa marah dan mula menuntut Sabah yang menambah lagi ketegangan antara Filipina dan Malaysia yang baru lahir.

Nama Malaysia sebenarnya lebih daripada sekadar nama sebuah negara. Ia adalah simbol penyatuan etnik, budaya, dan sejarah yang luas. 

Tunku Abdul Rahman sering menyebut bahawa orang Melayu dan peribumi Borneo berasal dari rumpun yang sama iaitu rumpun Melayu.

Namun, kerana proses penubuhan Malaysia dijalankan dengan cepat, konsep ni tak dihayati sepenuhnya oleh rakyat.

Sampai hari ini, ada je yang salah faham kata Malaysia hanya untuk Melayu Semenanjung, ada pula yang langsung menafikan hubungan antara identiti Melayu dan Malaysia.

Baca juga: Bukan calang-calang, ini rupanya latar belakang bakal isteri Tengku Muhammad