Satu rakaman video memaparkan seorang guru berbangsa India yang sedang menghasilkan ‘kolam’ Deepavali telah meraih perhatian ramai, baru-baru ini.
Mana tidaknya, lelaki dikenali sebagai Cikgu Siva itu berjaya mereka seni hiasan kolam yang memperlihatkan bendera Malaysia dan Palestin dengan begitu indah.
Berdasarkan rakaman berdurasi 59 saat itu, Cikgu Siva tampak menggunakan tepung beras berwarna merah, putih, hijau dan hitam untuk membentuk kolam tersebut.
Selain bendera, bahagian atas kolam berkenaan turut dihiasi dengan kubah emas dipercayai Kubah Al-Sakhrah yang terletak di perkarangan Masjid al-Aqsa di Palestin.
Menimbulkan rasa terharu, Cikgu Siva turut menghiasi lukisan kolam berkenaan dengan doa yang tulus buat kemakmuran masyarakat Gaza iaitu, ‘Pray For Palestin’.
“Doakan untuk Palestin. Sebarkan cinta, semangat kemanusiaan. Bebaskan Palestin,” tulis Cikgu Siva di ruangan kapsyen video yang dimuat naik di laman TikTok itu.
Mengundang pelbagai reaksi, perkongsian yang dibuat menerusi akaun TikTok milik @koodugal itu telah meraih hampir tiga juta tontonan oleh pelayar platform tersebut.
Tinjauan mendapati rata-rata pengguna menghargai kecantikan seni kolam itu selain berterima kasih kepada Cikgu Siva atas solidaritinya terhadap rakyat Palestin.
Ramai individu turut meninggalkan kata pujian kerana kagum dengan sikap kemanusiaan guru itu yang menyokong Palestin meskipun berbeza agama dan bangsa.
“Terima kasih kerana menjadi rakyat Malaysia yang berhati mulia dan berperikemanusiaan. Selamat Hari Deepavali,” tulis seorang pengguna yang sempat memberikan ucapan kepada guru itu.
“Terima kasih wahai insan yang berhati nurani walaupon kita bukan seagama. Tetapi darah yang mengalir tetap berwarna merah.” Kongsi pengguna lain yang merasa bangga.
Sekadar info, kolam adalah sejenis hiasan yang bakal dilakukan oleh masyarakat India di seluruh dunia pada setiap kali mereka menyambut perayaan Hari Deepavali.
Hasil seni kolam ini dilukis dengan menggunakan tepung beras pelbagai warna dan dihias dengan bunga-bunga cantik serta lampu warna-warni.
Baca juga: “Aku jaga penampilan walaupun anak dah 4, suami tetap curang, alasan dia buat naik darah aku…”