Malaysia Dateline

Ramai terkejut Najib dapat ‘air time’ di TV1, Jabatan Penjara nafi sebarang rakaman pernah dibuat di penjara

Sejak semalam kecoh di media sosial selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba-tiba dilihat membuat kemunculan di TV1.

Ramai keliru bagaimana pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) masih memberikan liputan eksklusif kepada Najib yang sedang menjalani hukuman penjara di Kajang.

Khabar angin turut berlegar mengatakan bekas Ahli Parlimen Pekan itu mendapat layanan istimewa di penjara.

Susulan itu, Jabatan Penjara Malaysia hari ini tampil menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa tiada sebarang rakaman video pernah dibuat sepanjang Najib menjalani hukuman di penjara.

Jabatan itu menjelaskan, video tersebut sebenarnya telah dirakam lebih awal oleh pihak RTM sempena Kembara Keluarga Malaysia Episod 57 iaitu sebelum Najib dipenjarakan.

“Jabatan Penjara Malaysia menegaskan bahawa tiada apa-apa rakaman video yang melibatkan Najib telah dibuat oleh mana-mana agensi media di dalam premis penjara seperti mana yang ditularkan.

“Video yang ditayangkan di TV1 pada 24 Oktober 2022 menceritakan tentang sejarah dan latar belakang Pekan, Pahang dan tidak berkaitan dengan politik,” katanya sekaligus menafikan dakwaan bahawa Najib berkempen melalui kemunculan beliau di RTM.

Pada masa sama, jabatan penjara meminta orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat tanpa semakan lanjut.

“Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Tangkap layar yang tular semalam

Baca juga: ‘Kedai kampung je pun’, pelanggan tergamam kena bayar RM25 untuk sepinggan nasi kosong dan sotong kecil

Baca juga: Penting untuk ada dana kecemasan 6 hingga 12 bulan gaji- Ini antara nasihat pakar kewangan untuk anak muda