Ramai terkejut tengok Siti Bainun, berat badan turun 60kg selepas 6 bulan dipenjara

Oleh WAN SITI AMINAH

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali kembali menjadi topik perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial, baru-baru ini.

Mana tidaknya, susuk tubuh milik Siti Bainun yang hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi (Selasa) itu kelihatan sangat berbeza dan tampak semakin kurus.

Difahamkan, wanita berusia 31 tahun itu mengalami penurunan berat badan kepada 90 kilogram (kg), berbanding 150 kg ketika dimasukkan ke penjara pada 3 Mei lalu.

Hal ini bermakna, anak kelahiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu mengalami penyusutan berat sehingga 60kg dalam tempoh enam bulan, lapor Berita Harian.

Bainun yang memakai jubah rona merah jambu itu diringi anggota penjara ke mahkamah untuk pendengaran rayuan kes mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella.

Rakaman yang memaparkan Siti Bainun dalam perjalanan masuk ke mahkamah turut beredar di platform X (Twitter) selepas dimuat naik oleh beberapa portal berita.

Mengundang perhatian ramai, rata-rata pengguna media sosial mengaku kagum dengan perubahan bentuk badan milik pengasas pertubuhan badan kebajikan itu.

“Siti Bainun buat comeback kurus, tak tunggu raya nohh. 60kg di hilang berat. Habis itu takkan aku nak tunggu masuk penjara baru nak kurus,” kata seorang pengguna.

“Weh, Siti Bainun dah kurus duduk penjara. Hilang 60kg. Tiada budak ke dalam penjara dia nak makan.” Kongsi pengguna lain yang sempat berseloroh.

Untuk rekod, Siti Bainun telah diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen pada 3 Mei lalu.

Siti Bainun terbukti melakukan dua kesalahan mengabai dan menganiaya Bella yang berusia 13 tahun di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu untuk menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Bainun juga diarahkan melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Pada 23 Mei, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara kerana tiada keadaan khas mewajarkan pengasas Rumah Bonda itu dilepaskan sementara menunggu rayuan sabitan serta hukuman didengar.

Oleh yang demikian, Bainun diarahkan untuk kekal dipenjarakan sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Baca juga: Sah bercerai, Inara menangis terharu, anggap perjuangan tak sia-sia