Malaysia Dateline

Ramai tidak hadir temujanji, kerajaan perlu perbanyak pusat suntikan bergerak

Kerajaan perlu mempertimbangkan agar melaksanakan unit suntikan bergerak untuk memastikan orang ramai mendapat suntikan imunisasi mereka.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, memang perkara yang baik untuk mengadakan vaksinasi di tempat yang besar, namun masih ramai yang tidak hadir ke temujanji mereka.

Justeru katanya, pusat suntikan bergerak perlu diperbanyakkan.

“Sebenarnya unit suntikan bergerak ini memerlukan hanya lima orang iaitu satu atau dua orang doktor, dua orang jururawat dan seorang penulis rekod.

“Mereka boleh suntik bukan sahaja dalam bas besar, tetapi dalam rumah pun.

“Yang penting ialah penulis mengambil gambar Kad Pengenalan dengan nombor telefon bimbit untuk dimasukkan ke dalam data Nasional. Suntikan yang kedua boleh dibuat dengan unit suntikan bergerak ke tempat yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahathir berkata, seramai 31 juta orang rakyat Malaysia masih terselamat dan belum dijangkiti wabak Covid-19.

Ini kerana katanya, mereka yang tidak dijangkiti ini mungkin tidak pernah berdekatan dengan mereka yang sudah dijangkiti, selain pematuhan kepada pemakaian penutup muka, kerap basuh tangan dan amal penjarakan fizikal.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, tanpa sedar, penjarakan fizikal semakin sukar untuk diamalkan sepanjang masa.

“Jika kita amal SOP secara sedar, ia akan jadi tabiat. Apabila sudah jadi tabiat, ia akan dilakukan secara spontan. Pada masa itu ia tidak lagi jadi beban,” katanya.

Justeru Mahathir menambah, jika kerajaan dan orang ramai melaksanakan cadangan pusat suntikan bergerak, maka jumlah pesakit baru dapat dikurangkan.

Beliau menekankan bahawa dalam isu pengurusan wabak seperti yang terdapat sekarang, pengurangan kes baru amat penting.

“Orang ramai perlu terima perasaan bosan dan penderitaan jika ingin selamat dari wabak ini. Jika tidak sanggup, kematian akan bertambah. Ratusan dari kita dan keluarga kita dan kawan kita akan menjadi mangsa Covid-19 ini. Kita juga akan jadi mangsa,” ujarnya.