Malaysia Dateline

Ramai tidak tahu suami, ahli keluarga jadi gelandangan di Singapura

Hampir semua keluarga pekerja Malaysia yang menjadi gelandangan di Singapura tidak tahu keadaan sebenar suami atau ahli keluarga di republik itu sepanjang pandemik Covid-19.

Sekurang-kurangnya 100 pekerja Malaysia di Singapura kini terpaksa menjadi gelandangan kerana tidak mampu menyewa bilik apatah lagi katil, lapor BH Ahad hari ini.

Memetik kenyataan aktivis kemasyarakatan di Singapura, Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 34, pekerja Malaysia terbabit tidak mampu menyewa katil pada harga S$300 (RM915) hingga S$500 (RM1,525) sebulan, apatah lagi bilik berharga S$700 (RM2,135) hingga S$1,200 (RM3,660).

Menurutnya, jumlah itu belum dicampur kos makan mencecah S$20 (RM61) sehari dan kos tambang perkhidmatan pengangkutan awam MRT, antara S$3 (RM9) hingga S$4 (RM12) bagi satu perjalanan mengikut lokasi.

Bahkan, jelasnya, ada yang terpaksa mengikat perut kerana hanya mempunyai S$100 (RM304) untuk bertahan selama sebulan termasuk kos makan selepas menghantar kira-kira S$700 (RM2,134) untuk keluarga di Malaysia dan S$300 (RM915) kos katil.

Sehubungan itu, Shahruddin berkata, kepayahan hidup pekerja Malaysia di Singapura hanya akan berakhir apabila pintu sempadan dibuka dan mereka boleh berulang alik dari Johor setiap hari untuk bekerja.

“Kami amat berharap sempadan dibuka, tetapkanlah apa pun syarat asalkan munasabah untuk kami boleh berulang alik bekerja dari Johor,” rayunya lagi.

Dianggarkan lebih daripada 100,000 rakyat Malaysia bekerja berulang alik dari Johor Bahru ke Singapura secara harian sebelum penutupan sempadan negara akibat pandemik Covid-19.

Walau bagaimanapun, penutupan sempadan menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura hilang sumber pendapatan.

Ramai warganegara Malaysia yang terkandas di Singapura, dikatakan berdepan risiko kemurungan.

Bulan lalu, seorang lelaki rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, maut selepas terjun dari tingkat lapan sebuah apartmen di republik itu.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai mengalami kemurungan akibat masalah kerja di samping merindui keluarganya, selepas terkandas di Singapura hampir lapan bulan.