Ramai yang berani, kurang yang waras

Ramai yang berani, kurang yang waras

 Di media sosial hanya beberapa kerat sahaja bersikap menjadi penasihat atau pengislah, banyak ialah provokator, menghasut dan menabur fitnah mentah.

Jikalau kita membelek (skrol) media sosial, melihat medan perang siber politik, begitu riuh randah sekali medan itu. Penuh dengan serangan, kata-kata, banner atau poster yang tidak tergamak kita mendengar dan melihatnya. Ada yang terlebih kreatif membuat super impose gambar yang jelek, memualkan kita menatapnya.

Hebat. Apakah kehebatan ini bertambahnya jumlah mereka menjadi pemian politik? Atau hebat kerana disediakan ruang – media sosial wadah percuma, yang mudah untuk diakses dan menginput dakyah? Mungkin kedua-duanya sekali.

Satu segi kita bangga apabila anak-anak muda mengambil bahagian dan peduli mengenai politik. Berbahas, berpolemik serta cuba menerapkan idealogi masing masing, menyakinkan serta cuba pula mempengaruhi agar mengikut keyakinan antara satu sama lain.

Kemeriahan ini memberi petanda kita atau politik kita ada potensi dan segar. Walaupun ada berbagai-bagai akta sedia menanti untuk memerkup mereka yang terlampau, namun ia bukan sesuatu yang menakutkan apa lagi perlu dihindarkan. Setengah dari kita berseronok dengan birokrasi itu.

Namun disebalik kemeriah itu, ada sesuatau yang dikesalkan. Rata-rata apa yang tersaksi dalam media sosial, banyak bersikap menyerang, menghentam secara membabi buta, sambrono,tidak berakhlak sehingga ada yang menunjukkan punya tahap tamadun yang rendah. Mereka saling membaling batu tuduhan dan fitnah, yang menganggap hanya itulah satu-satu bentuk politik.

Sebaliknya jarang kita membaca status yang lunak, mendidik jauh sekali mengajak puak atau individu bertelagah berbaik-baik antara satau sama lain. Sindir, ejekan memenuhi ruangan, menjadikan ruang media sosial berbunga dan berputik dengan buah beracun. Kenapa berlaku begini? Apakah setiap apa yang hendak dicatat dalam media sosial harus buruk dan kita semua sudah hilang tatabudi? Hilang deria ketanggungajawaban?

Politik mengejek, berkata huduh bukan politik yang sihat. Ia jauh dari budaya politik Melayu yang beradat dalam berkata-kata hatta mengkritik. Ia bukan warisan budaya kita dimana orang tua-tua kita kalau pun mahu menegur, ditegur dengan cara berkias ibarat itu saksiah Melayu. Apa yang berlaku kini kita mendedah minda dan cara berpolitik yang huduh dan tandus tamadun.

Keadaan ini kontradik. Sepatutnya lebih terpelajar dan luas pengetahuan, kita menjadi lebih lunak dan harmonis dalam berperang. Kalau peperangan merebut wilayah dan negeri ada undang-undang dan garis panduan perlu dipatuhi (walaupun sering kali dilanggari), politik juga ada undang-undang tersendiri.

Janganlah kita melanggari undang-undang dan peraturan serta etika politik seperti perang fizikal. Kita perlu berperang secara sihat yang penuh diplomasi, toleransi dan berstrategik. Jangan hilangkan peri kemanusiaan yang ada kepada kita. Realisasikan yang kita ini makhluk yang paling mulia di sisi Tuhan.

Menyeru ke arah kebaikan.

Seperkara yang saya terperasan dalam arus politik kita hari ini, tidak ada golongan yang menyeru ke arah kebaikan. Dalam keriuhan di media sosial hanya beberapa kerat sahaja bersikap menjadi penasihat atau pengislah. Yang banyak ialah provokator, menghasut dan menabur fitnah mentah. Aksi sebegini bukan membawa keharmonian tetapi menjadi keadaan makin berkelodak.

Walhal bersikap menegur atau mengislah dan menjadi pengaman ini adalah dituntut oleh Tuhan. Dalam sebuah firmannya Tuhan menjelaskan harus ada satu golongan yang mengajak ke arah kebaikan. Ertinya jika ada pihak atau puak atau individu bergaduh dan “berseleheng” mestilah ada puak yang mendamaikannya. Harus ada orang tengah yang membetulkan keadaan.

“Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembang dan menyebarkan Islam), menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang mungkar (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian, ialah orang-orang yang berjaya. (Ali Imran: 104).

Sebagai orang Islam kita semua tahu dan faham mengenai fungsi dan tanggungjawab kita sebaga khalifah dan hambaNya yang ditegaskan dalam firmanNya itu. Tetapi kenapa kita seakan tidak mempedulikananya. Lebih mengecewakan lagi apabila orang- orang yang kelihatan berakhlak (berkosmetik) dan berpakaian agama juga tidak mengikut seruan ini.

Maafkah saya menyebut di sini dengan mengambil contoh apa yang berlaku dalam sebuah parti politik yang bertindak memecat bekas pemimpin kanannya. Pemecatan itu berlaku begitu sahaja tanpa dipersoalkan. Saya tidak mahu mempersoalkan tindakan yang diambil, tetapi kesal dengan apa yang berlaku. Pemimpin itu atau kejadian itu semacam tidak ada kepedulian orang-orang yang patut menjadi orang tengah tadi.

Ini berbeza dengan apa yang berlaku dalam sebuah parti yang dianggap sebagai tidak Islami. Parti itu begitu berhati-hati untuk mengambil tindakan ke atas ahlinya yang merosakkan imej parti itu. Dalam pada itu juga, apabila ada pemimpin utamanya dipecat, ada orang bertindak menjadi mediator untuk meredakan keadaan.

Inilah yang dikendaki. Saya lihat dalam politik ramai orang berani, tetapi amat kurang sekali mereka yang cerdik dan berfikir waras.