Malaysia Dateline

Ramai yang langgar SOP tapi tidak pula dirantai, dipakaikan baju lokap

Pemuda Pas mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi penjelasan berhubung tindakan merantai ahli jemaah yang didakwa melanggar SOP ketika menunaikan solat sunat Aidiladha di luar perkarangan masjid baru-baru ini.

Timbalannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata jika hanya kesalahan melanggar SOP cukuplah sekadar mengenakan kompaun sahaja bukannya mengaibkan mereka dengan merantai serta dipakaikana baju seragam lokap.

“Jika itu kesalahannya, cukuplah mereka dikompaun tanpa perlu dilayani sebegini rupa, dirantai dan dipakaikan ‘baju seragam’ seperti ini,”katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, turut menegur tindakan itu kerana ramai yang melanggar SOP tapi tidak pula dikenakan tindakan seperti ini, sekali gus menambah tanggapan bahawa ada ‘double standard’ oleh pihak berkuasa.

“Cukup sekadar dikompaun dan diberikan amaran keras.

“Ia menambah tanggapan bahawa ada double standard oleh pihak berkuasa terhadap pesalah-pesalah yang melanggar SOP,” kata beliau.

Beliau berkata, KDN perlu memberi penjelasan terhadap tindakan ini kerana ada dalam kalangan mereka bukan sahaja melanggar SOP, tetapi kerana mereka ialah PATI dan melanggar undang-undang dengan tinggal di Malaysia melebihi tempoh waktu yang dibenarkan, dan mempunyai beberapa isu keselamatan lain yang menyebabkan mereka perlu dikenakan tindakan sebegini.

“Dalam hal ini, saya kira KDN perlu membuat penjelasan segera untuk pencerahan rakyat Malaysia khususnya umat Islam.

“Jangan perkecilkan keresahan umat apabila melihat kesalahan melanggap SOP dengan solat hari raya diiring seperti penjenayah berbahaya. Jika ada sebab musababnya, saya kira masyarakat sedia mendengar,”katanya.

Sebelum ini, seramai 49 lelaki ditahan atas dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana menunaikan solat sunat Aidiladha di Taman Pelangi, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Selasa.

Kumpulan itu didakwa melakukan solat sunat Aidiladha di perkarangan sebuah surau yang mana ia melebihi jumlah kedatangan yang dihadkan 100 orang.