Malaysia Dateline

Ramalan cuaca sinifikan bermula 15 hingga 21 Februari ini

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memberi amaran bahawa ramalan cuaca sinifikan akan bermula 15 hingga 21 Februari ini.

Menurut MET, berdasarkan analisis model MET Malaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS), angin timuran dan tenggara dengan kelajuan 10 hingga 40 kmsj dijangka bertiup di rantau Negara dalam tempoh ramalan itu.

Pada sebelah pagi, hujan dijangka berlaku di kawasan pantai negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan timur Sabah.

Manakala hujan dan ribut petir dijangka berlaku di negeri-negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat dan tengah Sarawak serta barat Sabah pada sebelah petang hingga awal malam.

“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” kata MET.

Terdahulu MET pada jam 2.30 petang ini telah mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan), Perak, Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Kuala Krai), Terengganu (Besut dan Setiu), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Kuantan, Pekan dan Rompin), Selangor, WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak: Kuching, Sri Aman, Betong (Betong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Kapit (Bukit Mabong dan Belaga), Bintulu dan Miri (Miri) sehingga 6:00 petang ini.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.