Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CCC) DAP itu memberitahu, beliau kecewa dengan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana Perdana Menteri telah menjanjikan Malaysia baharu tanpa mengira bangsa atau agama.

“Mahathir adalah Perdana Menteri untuk seluruh rakyat Malaysia, beliau harus bertindak terhadap Zakir Naik.

“Perdana Menteri menyatakan bahawa kerajaan tidak akan mengusir pendakwah Islam dan pelarian, Zakir Naik dari India pada buat masa ini. Sama ada ini merupakan keputusan muktamad kerajaan atau tidak, itu saya tidak pasti,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya pada Jumaat.

Ramasamy memberitahu, beliau juga tidak pasti mengapa Perdana Menteri tidak mengambil sebarang tindakan walaupun pendakwah itu telah menyinggung perasaan orang bukan Islam.

“Saya tidak pasti kenapa tidak ada sebarang tindakan dari pihak Mahathir, sama ada dia masih menunggu laporan penuh daripada pihak polis sebelum mengambil keputusan.

“Bila difikirkan balik secara teliti, saya rasa masih ada harapan untuk mengambil beberapa tindakan yang wajar terhadap Zakir Naik.

“Dengan ini bukan hanya saya tetapi ratusan dan ribuan rakyat Malaysia kecewa dengan keputusan Mahathir dalam keputusannya untuk biar Zakir Naik tinggal di negara buat masa ini,” katanya lagi.

Semalam, Perdana Menteri memberitahu beliau tetap dengan pendiriannya bahawa penceramah tersebut tidak akan dihantar pulang ke India. -UTUSAN ONLINE