Malaysia Dateline

Ramasamy perlu celik politik, jangan buta sejarah, kata Ketua Pejuang WP

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof P. Ramasamy seharusnya celik politik dan tidak buta sejarah, kata Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Beliau mengingatkan Ramasamy, di mana sejarah telah mencatatkan bahawa perpecahan kaum bermula di zaman penjajahan British lagi yang telah pun mengambil pendekatan pecah dan perintah demi kepentingan sistem penjajah mereka.

Katanya, sejarah tidak boleh dipadam apabila ia mencatatkan asas perpecahan kaum bermula di zaman penjajah yang sengaja disusun atur sedemikian rupa demi kepentingan pentadbir British semata-mata.

“Jangan lupa bahawa selepas mencapai kemerdekaan negara tokoh-tokoh pemimpin Melayu terpaksa mengambil pendekatan baru untuk memberi serta menjamin pelbagai hak kepada semua bangsa, seterusnya mencari jalan ke arah merapatkan jurang perbezaan antara kaum dalam pelbagai sektor.

“Ramasamy sebagai TKM 2 seharusnya sedar bahawa segala agenda kepimpinan negara adalah untuk memajukan setiap kaum dalam negara ini seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan negara dan kepimpinan Melayu amat menghormati Perlembagaan negara sebagai asas integrasi nasional.

“Zaman pentadbiran Tun Mahathir juga terbukti telah berjaya mewujudkan pelbagai peluang kekayaan kepada semua kaum tanpa sebarang bentuk amalan berat sebelah termasuklah melahirkan ramai jutawan kaum Cina dan India serta tidak pernah mensabotaj kejayaan mana-mana bangsa di negara ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Ramasamy melalui pautan Facebooknya yang mendakwa Tun Mahathir menjadi satu daripada faktor mengapa negara masih lagi tidak bersatu padu serta beliau juga didakwa masih lagi menggunakan hujah lama iaitu dasar memberikan keutamaan kepada Bumiputera.

Sementara itu Khairuddin menjelaskan, melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB), bangsa asing berjaya menguasai kekayaan ekonomi negara tanpa sebarang bentuk sekatan mahupun elemen sabotaj oleh kepimpinan Melayu hingga kini.

Beliau juga berkata, Ramasamy sepatutnya memahami bagaimana Tun Mahathir melawan sikap kronisme di dalam Umno sehingga berani mendedahkan senarai kronisma melalui Perhimpunan Agung Umno secara terbuka.

Ramsamy juga disarankan supaya bercakap sebagai pemimpin yang waras kerana apabila adanya pemimpin yang tidak waras maka ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada kestabilan lanskap politik negara.